suria

Masalah Pertindihan Atlet Sukma Akibat Kejar Elaun Tinggi - Zolkples Embong

KUANTAN: Sikap segelintir atlet yang mengejar bayaran elaun tinggi dikesan menjadi punca pertindihan penyertaan mereka dalam penganjuran Sukan Malaysia 2012 (SUKMA XV) yang akan diadakan di Pahang Julai ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia Datuk Zolkples Embong berkata pertindihan itu dilihat berlaku pada setiap kali kejohanan Sukma berlangsung apabila seorang atlet mewakili lebih daripada satu kontinjen.

"Kita harap atlet tak ambil kesempatan daripada kedudukan dan kecemerlangan mereka, mungkin dia tahu kedudukan dia calon pilihan untuk memenangi pingat emas.

"Mereka akan tengok negeri mana yang menawarkan elaun tinggi dan kemudahan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengundian Acara Berpasukan Sukma Pahang 2012 di Dewan Wisma Belia, Selasa.

Namun katanya situasi tersebut hampir selesai secara kompromi untuk melepaskan atlet yang bertindih kepada negeri lain dan hanya satu kes yang belum selesai.

Manakala 10 atlet yang terlibat dengan permasalahan itu berjaya diselesaikan," tambahnya sambil berkata ada atlet yang perlu membayar balik elaun yang diterima akibat pertindihan tersebut.

Secara peraturan katanya seorang atlet yang ingin mewakili sebuah kontinjen mereka perlu bermastautin di negeri yang ingin diwakilinya dalam tempoh tertentu sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh Sukma yang lepas.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Pahang Ahmad Hairi Hussain turut memberikan jaminan penyediaan semua insfrakstruktur kejohanan akan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya berdasarkan perbincangan dengan pihak kontraktor, mereka telah memberikan jaminan akan menyiapkan kemudahan sebelum 16 Jun ini manakala kolam renang dijangka siap pada 20 Jun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain