suria

Fahmi Teruskan Misi Buru Podium Di Litar Silverstone

Muhammad Zulfahmi Khairuddin
Muhammad Zulfahmi Khairuddin
Muhammad Zulfahmi Khairuddin

MESKIPUN sekadar meraih tempat ke-8 di perlumbaan kelima MotoGP di Litar Catalunya pada 3 Jun yang lepas, misi memburu podium pertama tetap akan diteruskan oleh pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

Fokus Zulfahmi tidak sama sekali terjejas malah dia terus meletakkan sasaran yang tinggi untuk berada di tangga podium di Litar Silverstone, Ahad ini.

Berbekalkan semangat dan azam yang tinggi meskipun terpaksa berdikari di negara orang, anak kelahiran Banting ini tetap percaya bahawa rezeki mendapatkan podium pasti akan berpihak padanya suatu hari nanti.

"Meraih kedudukan di podium merupakan impian buat setiap pelumba, begitu juga dengan saya. Doakan saya untuk terus berusaha supaya dapat berada di podium kerana itu adalah hadiah buat semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyokong saya," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Menurutnya lagi, keadaan cuaca di Silverstone pada hari Ahad ini diramalkan akan hujan tetapi dia tetap positif dan berharap agar dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan serta sentiasa fokus untuk meneruskan misi yang diingini.

Mengulas mengenai kondisi jentera KTM nya Zulfahmi berkata; "Jentera saya berada dalam keadaan yang baik dan saya berharap agar ia tidak akan menghampakan saya pada perlumbaan di Litar Silverstone Ahad ini."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain