suria

Skuad Recurve Wanita Optimis Dapat Beraksi Di Sukan Olimpik London

KUALA LUMPUR: Skuad memanah recurve wanita menyimpan keazaman yang tinggi untuk melayakkan diri ke acara berpasukan di Sukan Olimpik London, Julai depan.

Setakat ini, hanya Nurul Syafiqah Hashim dapat melayakkan diri untuk acara recurve wanita individu pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Kini Nur Amirah Mohamed, Ng Sui Kim dan Shahira Abdul Halim menaruh harapan memburu peluang terakhir untuk beraksi di London pada Kejohanan Memanah Siri Ketiga Piala Dunia di Ogden, Amerika Syarikat pada 19 hingga 24 Jun.

Persekutuan Memanah Antarabangsa(FITA) turut mengadakan serentak pertandingan kelayakan Sukan Olimpik pada kejohanan berkenaan bagi mengisi tiga slot terakhir acara berpasukan serta empat slot untuk acara individu lelaki dan wanita.

"Peluang untuk melayakkan diri itu ada, tetapi semuanya bergantung kepada faktor sampingan yang lain. Jika mereka boleh mendapat lebih 200 markah pada saingan itu, kita ada peluang," kata jurulatih skuad memanah kebangsaan, Lee Jae-Hyung di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Isnin.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia Sukan Olimpik London, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang meninjau latihan pemanah negara.

Lee berkata, jika mereka berjaya melepasi kelayakan pada kejohanan itu, skuad memanah wanita bakal mencipta sejarah apabila beraksi untuk pertama kali dalam acara berpasukan di Sukan Olimpik.

Sementara itu, Shahira, 20, berkata beliau tidak mahu merasa tertekan semasa bertanding dan sentiasa berfikiran positif dalam berdepan saingan di Ogden.

"Jika hendak cakap pasal peluang, semua peserta yang mengambil bahagian ada peluang untuk menang. Dari segi persediaan, kami berempat (termasuk Nurul Syafiqah) positif dan akan memberi saingan terbaik di sana.

"Saingan kami yang boleh dikatakan kuat pada kejohanan itu adalah tuan rumah, Amerika Syarikat. Kebanyakan pasukan, jika dilihat pada kejohanan dunia yang terdahulu, mempunyai purata mata 201 ke atas. Semasa latihan ini pun kami cuba melakukan purata mata yang sama," katanya.

Ahmad Sarji pula berkata, adalah menjadi harapan negara untuk menyaksikan pemanah wanita negara turut melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Menurut maklumat yang diterima daripada jurulatih (skuad memanah wanita) telah bersiap sedia bagi mencari peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Jika mereka mampu membawa prestasi yang ditunjukkan semasa latihan, peluang untuk melepasi kelayakan itu ada. Bagaimanapun, ia bergantung kepada faktor pembolehubah seperti keadaan angin, tekanan penyokong dan sebagainya," katanya.

Bagi acara memanah di Sukan Olimpik London, Malaysia setakat ini akan diwakili empat pemanah -- tiga lelaki dan seorang wanita.

Mereka ialah Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin bagi acara recurve lelaki individu dan berpasukan, manakala Nurul Syafiqah untuk acara recurve individu wanita. - BERNAMA

Artikel Lain