suria

Malaysia-Singapura Tagih Pengadilan Terbaik

PETALING JAYA: Selepas terikat 2-2 pada aksi perlawanan persahabatan pertama atau turut dikenali dengan Cabaran Causeway 2012 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Jumaat lalu, skuad Malaysia-Singapura mula mengharapkan sistem pengadilan lebih baik menjelang aksi kedua di Stadium Shah Alam pada Selasa, 8.45 malam.

Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal harap mutu pengadilan akan lebih sempurna berbanding di Jalan Besar yang diadili oleh pengadil dari Hong Kong, Ng kam Lai.

"Harap pengadil pada perlawanan esok (Selasa) akan lebih baik berbanding sebelum ini. Saya yakin jika tidak ada isu pengadilan timbul, keputusan pada hari itu juga mungkin berbeza.

"Bagaimanapun saya tetap gembira dengan keputusan seri kerana ia satu permainan yang sengit dengan Singapura," katanya pada sidang media pengurus-pengurus pasukan, Isnin.

Rajagobal berkata, menjelang perlawanan persahabatan kedua di tempat sendiri pada Selasa, ia bukanlah dianggap satu kelebihan kerana apa yang lebih penting adalah fokus pemain.

"Bermain di mana-mana pun sama sahaja, tetapi apa yang saya tekankan ialah semua pemain perlu memberi fokus sepenuhnya. Saya mahu mereka ada keyakinan dan ikut arahan yang telah saya berikan.

"Saya juga mahu mereka bermain lebih agresif untuk berbuat sesuatu dan sudah tentu akan cuba mencari gol awal. Kelebihan Singapura adalah pemain-pemainnya mempunyai ketinggian fizikal dan suka bermain bola tinggi.

"Pun begitu saya tidak akan tukar atau menggunakan taktik yang baru dan akan cuba menggunakan corak sebelum ini.

"Selain itu, dari segi senarai pemain, saya kemungkinan akan melakukan satu atau dua orang pemain atau mengekalkan pemain, terpulang kepada sesi latihan akhir petang ini," katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih Singapura, Aide Iskandar juga turut berharap perlawanan pada Selasa akan diadili pengadil yang lebih bagus seperti mana yang disuarakan oleh Rajagobal.

"Kami jangkakan akan mendapat pengadil yang lebih sempurna. Selebihnya kami sudah bersedia bertemu Malaysia dan turut melakukan persiapan rapi dengan menjalani perlawanan persahabatan bertemu Hong Kong sebelum ini.

"Saya juga menjangkakan perlawanan baik kedua-kedua pasukan seperti Sabtu lalu. Walaupun enam pemain utama tidak berada dalam skuad (menjalani latihan khidmat negara), saya yakin pemain-pemain lain juga bersedia," katanya.

Pada aksi Jumaat lalu, Singapura berjaya menyamakan kedudukan minit ke-87 (Shahdan Sulaiman) sebelum Qiu Li menyamakan kedudukan beberapa minit wisel penamat dibunyikan.

Manakala jaringan Harimau Malaya dilakukan oleh Azamudin Akil (m-42) dan Safiq Rahim pada minit ke-60.

Dengan keputusan tersebut, bermakna Singapura mencatat rekod tanpa kalah di laman sendiri dalam tiga perlawanan sejak 2006.

Artikel Lain