suria

Malaysia Juara SEASA ke-36

Bernard Yeoh
Bernard Yeoh
Bernard Yeoh

PETALING JAYA: Satu pingat emas dan satu gangsa yang diraih penembak trap kebangsaan, Bernard Yeoh membolehkan Malaysia muncul juara Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-36 di Lapang Sasar Subang.

Tambahan dua pingat itu menyaksikan skuad menembak kebangsaan mengumpulkan 33 pingat emas, tujuh perak dan 12 gangsa, jauh meninggalkan negara pesaing.

Pada hari terakhir kejohanan pada Sabtu , penembak berusia 43 tahun dari Selangor itu memenangi emas dalam acara Trap Berpasukan Lelaki bersama gandingan Ng Beng Chong dan Ong Chee Kheng selepas mencatatkan 324 mata keseluruhan.

Pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi trio Singapura dan Taiwan dengan catatan 322 dan 320 mata.

Yeoh bagaimanapun gagal mengekalkan bidikan cemerlang dalam acara trap individu lelaki selepas hanya mampu mencatat 128 mata dan berpuas hati dengan pingat gangsa.

Pingat emas dan perak acara tersebut dimenangi penembak Filipina Ang Eric dan penembak Taiwan Hsu Ching-Huang selepas masing-masing mencatat 134 dan 130 mata. Yeoh yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, berkata beliau agak kecewa dengan kesilapan pengadil yang mengarahkan beliau untuk berhenti menembak pada pusingan ketiga.

"Tumpuan saya terjejas disebabkan mereka mengarahkan saya untuk berhenti menembak dan menyebabkan saya terlepas tiga tembakan pada pusingan tersebut... ini mungkin kerana mereka menggunakan sistem kiraan mata yang lama," katanya.

Ditanya mengenai kejohanan yang bakal disertainya selepas ini, Yeoh yang mengusahakan restoran di London, berkata beliau tidak akan menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat memandangkan beliau hanya merupakan penembak separuh masa.

"Saya balik ke Malaysia dari London semata-mata untuk menyertai kejohanan menembak kali ini.... mungkin tiada pertandingan yang bakal disertai saya untuk masa terdekat ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain