suria

Malaysia Hanya Catat Seri 2-2 Ke Atas Singapura

KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ke atas Singapura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang dikenali sebagai Cabaran Causeway 2012 di Stadium Jalan Besar, Singapura, Jumaat.

Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berhati-hati pada awal permainan yang menyaksikan tiada percubaan berbahaya sepanjang 30 minit permainan.

Ketua jurulatih Singapura, Radojko Avramovic yang menurunkan sebahagian besar pemain Lions XII yang bermain dalam Liga Super, kemudian mengubah rentak permainan dengan strategi menyerang namun gagal menembusi kubu pertahanan Malaysia yang dikawal kemas oleh Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Azmi Muslim.

Skuad kebangsaan sebaliknya mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan penyerang Pahang, Azamuddin Akil pada minit ke-43 selepas beliau memanfaatkan hantaran silang daripada Mohd Safee Sali.

Kapten pasukan, Mohd Safiq Rahim kemudian menggandakan jaringan skuad kebangsaan pada minit ke-60 menerusi sepakan percuma yang cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Mohd Izwan Mahbud di gawang Singapura.

Singapura hampir menjaringkan gol pertama mereka menerusi sepakan penalti oleh penyerang kelahiran China, Qiu Li pada minit ke-83, namun berjaya diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain tengah Singapura, Shahdan Sulaiman berjaya mengurangkan defisit jaringan melalui sepakan percuma pada minit ke-87.

Qiu Li menebus kegagalan untuk menyempurnakan sepakan penalti Singapura dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-93 menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti Malaysia.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam perlawanan timbal-balik di Stadium Shah Alam pada 12 Jun ini.-BERNAMA

Barisan Pemain:

Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, K. Gurusamy, Mohd Azmi Muslim (Mahalli Jasuli), Mohd Fadhli Shas, Aidil Zafuan Abdul Radzak (S.Subramaniam), Mohd Safiq Rahim (kapten), Mohd Bunyamin Umar, S. Kunanlan (S. Chanturu), Shahurain Abu Samah (Azamuddin Akil), Norshahrul Idlan Talaha (Ahmad Shakir Mohd Ali), Mohd Safee Sali (Amar Rohidan).

Singapura: Mohd Izwan Mahbud, Mustafic Fahrudin, Hariss Harun, Madhu Mohanna, Shaiful Esah Nain, Baihakki Khaizan (kapten), Safuwan Bahrudin (Shahdan Sulaiman), Sufian Anuar, Irwan Shah (Shi Jiayi), Qiu Li, Agu Casmir (Khairul Nizam).

Pengadil: Ng Kai Lang (Hong Kong)

Artikel Lain