suria

Nur Suryani Hargai Inisiatif Kerajaan

Nur Suryani Mohd Taibi
Nur Suryani Mohd Taibi
Nur Suryani Mohd Taibi

KUALA LUMPUR: Ratu sukan menembak negara Nur Suryani Mohd Taibi yang dijadual beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London, berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mendapatkan tiket penerbangan bagi membolehkan suaminya Marhazli Mhotar menemaninya pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Nur Suryani berkata beliau terharu dengan inisiatif kerajaan itu yang memahami situasinya yang kini mengandung anak pertama dan amat memerlukan suaminya di sisi.

"Alhamdulillah. Suami pun terkejut dan mengatakan ini adalah rezeki anak yang bakal lahir ini. Di sana (London) nilai mata wangnya tinggi, suami saya pun bukan berpangkat besar, hanya polis biasa sahaja.

"Kami memang sangat bersyukur," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan akan memenuhi segala keperluannya di London termasuk tiket penerbangan dan tiket menyaksikan pertandingan untuk Marhazli.

Nur Suryani, 30, berkata beliau kini sedang menguatkan persiapan mental sebelum berlepas ke London dijangka pada 22 Julai.

"Sekarang ini, sedang berlangsung Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-36 di Lapang Sasar Subang, jadi pertandingan yang saya sertai di sini banyak membantu saya mempersiapkan diri dari segi mental.

"Saya memang tidak boleh duduk diam, walaupun tengah mengandung enam bulan sekarang ini memang saya banyak bergerak, buat kerja berat sikit-sikit," katanya.

Nur Suryani yang akan beraksi dalam acara 10m Air Rifle pada Olimpik berkata dengan suntikan semangat oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, beliau akan berusaha meraih pingat untuk negara.

Nur Suryani akan menyertai senarai tiga lagi atlet yang bertanding ketika mengandung dalam sejarah Sukan Olimpik selepas Magda Julin (1920), Diana Sartor (2006) dan Kristie Moore (2010), yang kesemuanya bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk.-BERNAMA

Artikel Lain