suria

Penembak Terengganu Tambah Dua Emas Pada Hari Ketiga Kejohanan Menembak

PETALING JAYA: Penembak remaja Terengganu terus mempamer bidikan cemerlang apabila menambah dua lagi pingat emas pada hari ketiga Kejohanan Menembak Remaja Terbuka Kebangsaan yang berlangsung di Lapang Sasar Subang.

Emas pertama Terengganu disumbangkan Nurul Izzati Ali menerusi acara 50m Rifle Prone Individu Remaja Perempuan dengan 578 mata.

Ketinggalan dua mata di belakang ialah rakan sepasukannya, Athirah Hamzah manakala pingat gangsa menjadi milik penembak Selangor Nur Syahirah Zulkifli yang membidik 572 mata.

Nurul Izzati, yang bergandingan dengan Athirah dan Syarifah Aesyah Kamilah Sayed Ahmad, menambah emas kedua peribadi pada kejohanan kali ini dalam acara 50m Rifle Prone Berpasukan Remaja Perempuan selepas mengumpul 1,710 mata keseluruhan.

Trio Selangor dan Perak masing-masing meraih perak dan gangsa selepas melakukan bidikan berjumlah 1,689 dan 1,677 mata.

Tambahan dua emas yang diperoleh hari ini menyaksikan Terengganu kekal mendahului negeri lain dengan kutipan enam emas keseluruhan. - BERNAMA

Artikel Lain