suria

Columbia Asia Bantu Pembangunan Sukan Ragbi Malaysia

Kelvin (kiri) menyerahkan trofi Kejohanan Bawah 16 Tahun Columbia Asia kepada Hoon Chee.
Kelvin (kiri) menyerahkan trofi Kejohanan Bawah 16 Tahun Columbia Asia kepada Hoon Chee.
Kelvin (kiri) menyerahkan trofi Kejohanan Bawah 16 Tahun Columbia Asia kepada Hoon Chee.

PETALING JAYA: Sedar dengan kepentingan pembangunan sukan ragbi di peringkat akar umbi, syarikat kesihatan antarabangsa, Columbia Asia tampil bekerja sama dengan Combines Old Boys Rugby Association (COBRA) bagi menyokong sukan ini lebih meluas.

Program Sukan Ragbi Sekolah Columbia Asia-COBRA merupakan inisiatif awal pihak Columbia Asia bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah mengasah bakat mereka dengan jalan yang lebih terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia, Kelvin Tan berkata, pihaknya mengambil peluang ini dengan cara yang berbeza dan mempunyai objektif tersendiri untuk melihat sukan ragbi ini lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

"Program ini merupakan salah satu langkah untuk pelan pembangunan sukan ragbi di peringkat sekolah. Ini merupakan kali pertama pihak kami terlibat secara langsung dalam acara sukan.

"Kami memilih sukan ragbi kerana saya percaya sukan ini juga mampu pergi jauh seperti mana acara-acara sukan yang lain," katanya pada sidang media, Selasa.

Sementara itu, Timbalan Presiden COBRA, Boon Hoon Chee berkata, pihaknya sememangnya mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia mampu membantu pihaknya mencari bakat-bakat muda dalam sukan ini.

"Program seperti ini amat penting bagi memastikan sukan ragbi dapat disebarkan dengan lebih luas di peringkat sekolah lagi.

"Sebelum ini kami juga turut mengadakan klinik-klinik sukan ragbi dan sambutan amat menggalakkan.

"Dengan adanya sokongan Columbia Asia, saya yakin lebih banyak lagi sekolah di Malaysia akan terlibat dalam acara ini," katanya.

Program Sukan Ragbi Sekolah Columbia Asia-COBRA akan dimulakan dengan program Klinik Kejurulatihan Ragbi melibatkan pelajar-pelajar di Lembah Klang pada 16,17, 23 dan 24 Jun ini.

Manakala klinik kejurulatihan ini turut diadakan di negeri Perak, Negeri Sembilan dan Johor pada Julai ini.

Selain mengadakan klinik ragbi, program ini juga akan mengadakan perlawanan merebut trofi Columbia Asia-COBRA 15 Sebelah yang akan dilangsung pada 30 Jun hingga 14 Julai depan.

Lapan buah sekolah menengah dijangka terlibat dengan perlawanan ini termasuk SMK Tinggi Kajang, SMK Sultan Abdul Aziz Shah (Kajang), SMK Tinggi Setapak, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara, SMK Seksyen 24 Shah Alam, SMK Seksyen 19, Shah Alam, SMK Sultan Salahuddin Abdul Azia Shah dan SMK Puchong Utama 1.

Pasukan bawah 16 tahun ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bermain secara round robin pada pusingan awal.

Artikel Lain