suria

Super GT 2012 Dijangka Lebih Sengit

Aksi perlumbaan Super GT musim lalu.
Aksi perlumbaan Super GT musim lalu.
Aksi perlumbaan Super GT musim lalu.

PERLUMBAAN Super GT 2012 Pusingan 3 Malaysia dijangka lebih hangat berdasarkan penyertaan pasukan-pasukan hebat serta pelbagai aktiviti yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepan (SIC), pada 9 hingga 10 Jun ini.

Malaysia menjadi satu-satunya negara yang diberi penghormatan untuk menganjur salah satu pusingan selain dari negara asal perlumbaan ini, Jepun (tujuh pusingan).

Lebih menarik pada perlumbaan tahun ini juga bakal menyaksikan pelumba terkenal Malaysia, Fairuz Fauzi akan mengetuai pasukan Thunder Asia Racing bersama Hikori Yoshida menyertai perlumbaan ini secara wild card dengan memandu jentera Mosler MT900m.

"Ia satu penghargaan buat saya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Perlumbaan Super GT merupakan pengalaman menarik dan akan cuba melakukan yang terbaik pada perlumbaan nanti," jelas Fairuz.

Aksi pelumba tempatan itu diharap mampu meningkatkan lagi jumlah pengunjung ke litar berbanding tahun lalu yang berjaya mencatat 60,000 pengunjung.

"Selepas menerima sambutan menggalakkan tahun lalu, kami menyasarkan lebih ramai penonton akan hadir bagi menyaksikan perlumbaan ini.

"Ini kerana Super GT Jepun merupakan perlumbaan yang ditunggu-tunggu oleh peminat tempatan dan juga luar negara," kata pengasas JPM Motorsports, J.P Chin baru-baru ini.

Chin yakin dengan sasaran itu berdasarkan penyertaan baru daripada kereta Hybrid yang mampu memberi tarikan tersendiri.

"Kemasukan kereta Hybrid seperti Toyota Prius dan Honda CR-Z pada tahun ini, jelas sudah membawa satu kelainan berbanding perlumbaan Super GT Jepun sebelum ini.

"Saya juga yakin ini merupakan petunjuk baru bahawa kemungkinan suatu masa nanti, jentera yang akan digunakan pada perlumbaan ini akan berubah dan lebih kepada mesra alam," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Sehingga kini 40 pasukan telah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam kategori GT 500 dan GT 300.

Dalam kategori GT 500, beberapa jenis jentera utama yang pernah mencatat beberapa kejutan pada tahun lalu seperti Nissan GT-R, Lexus SC430 dan Honda HSV-010 GT akan sekali lagi menggegarkan SIC.

Tahun lalu, pemandu pasukan MOLA, Masataka Yanagida dari Jepun dan rakan sepasukannya, Ronnie Quintarelli (Itali) muncul juara GT 500 dengan menggunakan jentera Nissan GT-R.

Bagi GT 300 pula, pasukan GSR & Studie UKYO yang menampilkan Taku Bamba dan Nobuteru Taniguchi muncul juara.

Selain itu, antara aktiviti-aktivi yang bakal diadakan termasuk perhimpunan supercar dan kereta prestasi tinggi yang mana tahun lalu berjaya mencatat Malaysian Book of Records.

Turut diadakan ialah aktiviti pertandingan menari oleh 40 pasukan di sekitar Lembah Klang dan Penang, pertandingan piala Sony Playstation Gran Turismo 5 SUPER GT, pameran dari Motor Affin Bank, Sime-Darby Motors dan Naza World berserta pengeluar utama Jepun dan Korea seperti Honda, Nissan, Toyota, Mazda, Subaru dan Hyundai.

Tiket Grandstand dijual pada harga RM100 setiap satu, dan tiket kedua akan menerima diskaun sebanyak 20 peratus (RM80) dan boleh dibeli melalui www.tiketpro.com atau pada hari perlumbaan nanti.

Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, masuk adalah percuma.

Separuh daripada jumlah jualan setiap tiket akan di sumbangkan kepada organisasi kebajikan yang memerlukan.

Perkhidmatan Skybus turut disediakan dari KL Sentral. Maklumat lanjut perjalanan boleh diperoleh di www.supergt.com.my.

Artikel Lain