suria

Trio Adik-Beradik Raih Pingat Acara Triathlon Junior

PUTRAJAYA: Trio adik-beradik Muhammad Safiy Mohd Shamsir, Muhammad Shafriz Mohd Shamsir dan Nurailiah Mohd Shamsir masing-masing mendominasi tiga tempat teratas pada Kejohanan Putrajaya International Triathlon Junior yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Ahad.

Muhammad Safiy, sembilan tahun menjuarai kategori bawah sembilan tahun menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 33.46' setelah mengharungi perlumbaan sejauh 150m bagi disiplin renang, 4km berbasikal dan 800m berlari.

Abangnya, Muhammad Shafriz, 12, menduduki tempat kedua bagi kategori bawah 12 tahun dengan catatan masa 31.36', manakala kakaknya Nurailiah, 15, pula menduduki tempat ketiga bagi kategori bawah 15 tahun dengan catatan masa 33.46'.

Muhammad Safiy berkata beliau rasa gembira dengan kejayaan hari ini kerana dapat mengatasi peserta lain dan berazam terus berusaha untuk maju dalam sukan tersebut.

"Saya pilih sukan triathlon kerana seronok dengan sukan ini terutama ketika beraksi dalam displin berlari dan berbasikal.

"Diharap satu hari nanti saya dapat mewakili negara dalam triathlon," katanya.

Beliau berkata ibunya Norrisa Rahmat Pye banyak memberi dorongan kepada mereka tiga-beradik untuk bergiat dalam sukan ini.

Sementara itu, Norrisa berkata beliau bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anaknya dan berharap mereka mampu menjadi atlet yang berkebolehan satu hari nanti.

"Saya memilih sukan triathlon untuk anak saya kerana unsur displin dan daya tahan yang terdapat dalam sukan triathlon tiada dalam acara sukan lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain