suria

Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 Akan Diadakan Di Ipoh

IPOH: Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) Sultan Azlan Shah bertitah Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 akan diadakan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini.

Titah baginda perkara itu diputuskan semasa mesyuarat badan itu di Hotel Impiana di sini, pagi Sabtu.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil Kursus Pegawai Teknikal Peringkat Asia di Akademi Hoki AHF MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) di Majlis Sukan Negeri Perak.

Sijil disampaikan oleh Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Leandro Negree. Turut hadir Setiausaha Agung AHF Tan Sri P. Alagendra dan Presiden Hoki Perak Datuk Abdul Rahim Mat Ariff.

Sultan Azlan bertitah mesyuarat AHF juga memutuskan untuk menamakan akademi tersebut sebagai Akademi Hoki Raja Ashman AHF MHC sebagai mengenang jasa Almarhum yang banyak menyumbang kepada perkembangan sukan hoki negara.

Sementara itu, Sultan Azlan kurang berpuas hati dengan prestasi skuad negara pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-21 yang sedang berlangsung di sini, sehingga 3 Jun ini.

Baginda bertitah kekalahan 1-4 kepada New Zealand dua hari lepas adalah disebabkan pertahanan negara yang terlalu rapuh.

"Dua gol awal dalam beberapa minit tidak sepatutnya berlaku...begitu juga gol keempat yang dijaringkan pasukan lawan," titah baginda.

Baginda, bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain muda yang beraksi dalam skuad negara pada kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Lain