suria

Edisi Ketiga Kejohanan Catur Peringatan Lim Chong Di Bernama Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Edisi ketiga Kejohanan Catur Peringatan Lim Chong Memorial akan berlangsung di ibu pejabat Bernama di Jalan Tun Razak di sini, tahun depan.

Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) Datuk Yong Soo Heong mempelawa anggota media dan orang awam menyertai acara itu bukan hanya untuk menguji kemahiran permainan catur masing-masing malah mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Kami berharap dapat membawa anda melawat pejabat kami sempena kejohanan akan datang yang akan membolehkan anda mengetahui dengan lebih mendalam berhubung perkhidmatan Bernama," kata Yong yang juga Ketua Pengarang Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang edisi kedua kejohanan catur itu yang diadakan di Kompleks Wilayah, Ahad.

Turut hadir isteri Lim, iaitu Jan Lim.

Lim, 56, yang menyertai Perkhidmatan Ekonomi Bernama sebagai penyunting pada 2004 selepas memilih untuk bersara awal daripada IT Publications di bawah Kumpulan New Straits Times, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 26 November 2010 ketika berada dalam pesawat untuk pulang ke tanah air dari London setelah menyelesaikan satu tugasan.

Selain mahir bermain catur, Lim dikenali melalui ruangan mingguan kendaliannya, 'Chessmate' dalam akhbar The Malay Mail dan ruangan dalam talian 'Chess Overboard' untuk Blog Pusat Catur Dato' Arthur Tan.

Mendiang juga adalah anggota Majlis Persatuan Catur Selangor.

Bagi kategori media, kakitangan Bernama iaitu A.Bhuvan, Kenny Teng Khoon Hock dan Mohd Faizal Hassan merangkul tiga hadiah teratas.

Muhd Syazwan Zulkifli pula menjuarai kategori terbuka diikuti Ian Udani dan Jimmy Liew Chee Meng.

Mereka menerima hadiah berupa wang tunai, pingat dan sijil. - BERNAMA

Artikel Lain