suria

Rajagobal Puas Hati Corak Permainan Malaysia Menentang Filipina

SHAH ALAM: Ketua jurulatih bola sepak negara Datuk K. Rajagobal berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya dalam perlawanan persahabatan bertemu Filipina di Stadium Shah Alam, di sini malam Jumaat.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Harimau Malaya terikat tanpa jaringan bertemu skuad 'The Azkals' yang dibimbing jurulatih berbangsa Jerman, Hans Michael Weiss.

"Saya berpuas hati dengan tempo permainan yang ditunjukkan oleh pemain kita kerana pasukan lawan mempunyai fizikal yang lebih besar daripada kita.

"Malah ramai yang tidak sedar bahawa pasukan lawan (Filipina) telah mengalami perubahan mendadak daripada segi permainan mereka sejak kebelakangan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut.

Mengenai kegagalan barisan serangan negara menyempurnakan banyak peluang, Rajagobal berkata beliau tidak mahu menyalahkan pemain kerana perlawanan tersebut adalah sebahagian daripada perancangannya bagi mempertahankan Piala AFF Suzuki, November ini.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain (kerana gagal menjaringkan gol)...mungkin gol yang kita cari akan diperoleh dalam perlawanan selepas ini," katanya.

Beliau berkata kemasukan pemain tinggi lampai daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Amiridzwan Taj Tajuddin bagi menggantikan Mohd Fadhli Mohd Shas pada separuh masa kedua ialah untuk menghalang strategi pasukan Filipina yang menggunakan hantaran bola tinggi serta 'set-piece' yang berbahaya.

Sementara itu, Michael Weiss gagal ditemubual kerana beliau dikatakan meninggalkan stadium sebaik perlawanan itu berakhir.

Skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan kebangsaan Singapura pada 8 Jun ini di Stadium Jalan Besar, sebelum kembali semula ke tanah air untuk perlawanan timbal balik bertemu pasukan berkenaan di Stadium Shah Alam pada 12 Jun. - BERNAMA

Artikel Lain