suria

Rajagobal Yakin Harimau Malaya Mampu Cipta Kemenangan

PETALING JAYA: Jurulatih pasukan bola sepak negara K.Rajagobal optimis skuad Harimau Malaya mampu mencipta kemenangan pada perlawanan persahabatan menentang Filipina di Stadium Shah Alam, malam esok.

Beliau berkata skuad mempunyai kekuatan pada posisi tengah yang akan dikemudikan oleh kapten Safiq Rahim dan mampu memberikan satu keputusan yang positif dan pasti akan memberi serangan agresif pada pihak lawan.

Sebagai persediaan Rajagobal berkata beliau telah mengenal pasti dan mengkaji corak permainan skuad di bawah bimbingan ketua jurulatih Filipina, Hans Michael Weiss dengan menyaksikan video perlawanan mereka (Filipina) sebelum ini.

"Sudah tentu kita mahukan kemenangan dan mungkin ada kejutan dengan barisan utama yang akan diturunkan terutama membabitkan pemain Terengganu dan Kelantan. "Saya berharap pemain ini bebas dari kecederaan ketika menentang Filipina memandangkan kita masih memiliki dua perlawanan persahabatan menentang Singapura pada Jun depan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, Khamis.

Rajagobal berkata beliau sering mengingati pasukannya agar berwaspada dengan ancaman Filipina yang memiliki kelebihan dari gerakan 'set-piece' dan mahu pasukannya mempamerkan permainan yang konsisten.

"Saya harap pemain tidak terlalu bergantung kepada penyerang negara Safee Sali. Saya pernah menyaksikan pita video aksi permainan Filipina yang mana mereka kuat dari segi fizikal mahupun mental. "Mereka juga memiliki kelebihan dari gerakan set-piece dan kerap menggunakan kelebihan ini untuk menjaringkan gol. Justeru, kita harus berwaspada dengan ancaman Filipina.

Rajagobal berkata beliau yakin pasukan pertahanan Filipina akan mengawal rapi penyerang negara dan berharap pemain dari posisi lain dapat mencuri peluang untuk menjaringkan gol kemenangan negara.

Sementara itu, Hans berkata pasukan Malaysia mempunyai pemain penyerang yang hebat yang mana pasukannya perlu menggunakan kelebihan di bahagian tengah untuk mendapat kemenangan.

"Kami tidak sabar untuk perlawanan esok dan ini merupakan persediaan kami menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain