suria

KOM Bersedia Terima Cadangan Hukuman WADA Ke Atas Enam Atlet Olahraga

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bersedia menerima cadangan hukuman yang bakal dikenakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ke atas enam atlet olahraga negara yang melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping, 24 Mei tahun lepas.

Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata badan induk olahraga negara itu bersedia untuk menjatuhi hukuman yang diputuskan oleh WADA ke atas enam atlet tersebut, termasuk jurulatih yang terlibat, sekiranya hukuman itu didapati bersesuaian.

"Sekiranya hukuman tersebut terlalu berat, kita akan membuat rayuan. Hukuman yang kita jangkakan bagi mereka yang terlibat ialah hukuman penggantungan dua tahun kepada atlet manakala penggantungan seumur hidup kepada jurulatih," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat anggota majlis KOM di sini, Khamis.

Enam atlet olahraga negara iaitu Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Mohd Noor Imran Hadi, Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamad dan Yee Yi Ling, bertindak melarikan diri ke Bulgaria bagi mengelak daripada menjalani ujian anti-doping di Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil keputusan menyerah diri pada Jun tahun lepas.

Jawatankuasa Siasatan KOM yang ditubuhkan September tahun lepas bagi menyiasat kes berkenaan hanya memberi amaran keras kepada enam atlet tersebut setelah ujian anti-doping yang dijalankan menunjukkan hasil negatif. WADA yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang diberi oleh KOM itu kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) yang berpangkalan di Switzerland bagi mengkaji semula hukuman tersebut yang dikatakan tidak bersesuaian.

Shahidan berkata KOM telah mengutus surat bukan sahaja kepada WADA malahan kepada Persekutuan Olahraga Amatur Dunia (IAAF) dan CAS penghujung bulan lepas bagi menyelesaikan kes berkenaan di luar CAS. "Sekiranya kes berkenaan dibawa ke CAS, kita harus membayar RM200,000 sehingga RM300,000 kepada peguam terlibat. Lebih baik kita gunakan duit tersebut untuk perbelanjaan atlet kita menyertai pertandingan di luar negara," katanya.

Ditanya mengenai tarikh sebenar mesyuarat agung tahunan KOM, Shahidan berkata perkara berkenaan belum dapat diputuskan oleh anggota majlis KOM memandangkan mereka perlu menyelesaikan beberapa perkara, termasuk laporan audit kewangannya yang masih belum dapat disiapkan.

"Kita diberi tempoh sehingga 28 Jun ini (oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan). Sekiranya kita tidak dapat menyiapkan laporan audit kewangannya sebelum tarikh tersebut, kita minta supaya penangguhan mesyuarat agung tahunan KOM dapat dipertimbangkan," katanya. Sementara itu, Shahidan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KOM, berkata atlet olahraga negara yang berpotensi bakal dihantar menyertai kejohanan di beberapa buah negara luar sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar.

"Kita akan menghantar mereka bertanding di dalam dan luar negara seperti di Taiwan, Sri Lanka, Kazakhstan, Hong Kong, Vietnam, Barcelona (Sepanyol) dan Jerman kerana kita menyasarkan untuk memungut sekurang-kurangnya sembilan emas di Myanmar nanti," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain