suria

Malaysia Kejutkan Pakistan 3-2 Untuk Kemenangan Pertama

IPOH: Jaringan dramatik oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada saat-saat akhir perlawanan membantu Malaysia mencipta kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 apabila menumpaskan Pakistan 3-2 di sini, malam Rabu.

Walaupun ketinggalan dua gol, Malaysia tidak berpatah semangat malah bangkit pada separuh masa kedua untuk mengatasi Pakistan selepas lima tahun.

Pakistan, yang menurunkan pemain berpengalaman, memulakan saingan dengan penuh yakin dan membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi tolakan kencang Muhammad Umar Bhutta.

Gol pembukaan itu menaikkan semangat pemain Pakistan untuk mengatur gerakan kemas dengan menggegarkan benteng pertahanan Malaysia sehingga membuahkan hasil menerusi jaringan Imran Butt pada minit ke-12.

Bagaimanapun, sebaik permainan babak kedua dimulakan, Amir Farid Ahmad Fuzi merapatkan jaringan pada minit ke-36 sebelum pemain terbaik perlawanan, Faizal Saari, menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Malaysia kemudian menukar strategi dengan melancarkan gerakan pantas dan kemas untuk memburu kemenangan pertama dan seminit sebelum perlawanan tamat, Muhammad Razie menyumbat gol kemenangan pada minit ke-69.

Jurulatih negara Tai Beng Hai berkata hasil persefahaman dan komitmen tinggi pemain membuahkan hasil dan berharap anak buahnya akan lebih berwaspada apabila menentang New Zealand esok.

Dalam perlawanan lain, Argentina mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut apabila mengalahkan India 3-2.

Argentina menjaringkan gol menerusi Matias Peredes pada minit ke-37, Santiago Montelli (minit ke-38) dan Gonzalo Peillat pada minit ke-58 manakala India pula oleh ketua pasukan Sardar Singh pada minit ke-49 dan Ramachandra Ragunath pada minit ke-62.

Sementara, Great Britain meleburkan rekod tanpa kalah New Zealand dengan kemenangan 2-1.

Great Britain mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Ashley Jackson pada minit ke-18 dan Matt Daly pada minit ke-27 manakala gol tunggal New Zealand dijaringkan oleh Andy Hayward menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-62.

Walaupun berkongsi sembilan mata dengan Argentina, New Zealand masih mendahului carta dengan perbezaan jaringan. - BERNAMA

Artikel Lain