suria

Malaysia Berpeluang Tambah Satu Slot Di Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Skuad angkat berat negara berpeluang menambah satu slot dalam kategori lelaki pada Sukan Olimpik London Julai ini, jika salah seorang daripada dua peserta yang bertanding pada Kejohanan Angkat Berat Kelayakan Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan bulan lepas gagal dalam ujian doping.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Zafarul Akhbar Kassim berkata beliau sedang menunggu keputusan ujian doping itu membabitkan atlet Uzbekistan dan Kazakhstan daripada Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF).

"Sekiranya salah seorang daripada mereka gagal dalam ujian tersebut, kita berpeluang cerah menghantar satu wakil lelaki ke Olimpik bagi menggantikan tempat salah seorang peserta itu," katanya kepada Bernama Rabu.

Zafarul berkata beliau juga akan berusaha mendapatkan satu tiket 'wildcard' daripada IWF sekiranya ujian doping tersebut membuktikan bahawa dua atlet terbabit tidak mengambil bahan terlarang.

"Kita lihat pencapaian atlet kita sekarang cukup membanggakan terutamanya Mohd Hafifi Mansor dalam acara 69kg dan Abdul Mubin Rahim dalam acara 85kg menerusi beberapa kejohanan sebelum ini," katanya.

Skuad angkat berat wanita negara telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas meraih tempat keenam keseluruhan pada kejohanan kelayakan tersebut.

Badan induk angkat berat negara baru-baru ini, telah mencalonkan dua atlet wanita kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) iaitu Azizah Fadzil dalam acara 53kg dan Nurniada Nordin dalam acara 48kg sebagai peserta simpanan ke Sukan Olimpik.

Ditanya mengenai persediaan dua atlet wanita tersebut bagi menghadapi Sukan Olimpik, Zafarul yang juga Timbalan Pengerusi Persekutuan Angkat Berat Asia (AWF) berkata kedua-berdua atlet tersebut bakal menjalani latihan intensif selama dua bulan di China bermula awal bulan depan.

"Saya yakin dengan latihan intensif tersebut mampu meningkatkan peluang mereka untuk bersaing dengan atlet lain pada Olimpik nanti," katanya.

Pencapaian terbaik skuad angkat berat negara pada Sukan Olimpik ialah menerusi atlet kelahiran Pahang, Mohd Amirul Hamizan Ibrahim yang menduduki tempat kelapan dalam acara 56kg lelaki di Beijing pada 2008. - BERNAMA

Artikel Lain