suria

Kejohanan Tenis Terbuka KL Scomi Tawar Hadiah Lebih Besar

KUALA LUMPUR: Didorong kejayaan pada tahun lepas, Persatuan Tenis Rumput Kuala Lumpur (KLLTA) akan menganjurkan Kejohanan Tenis Terbuka KL Scomi kedua dari 6 hingga 10 Jun ini dan menambah jumlah hadiah wang untuk pemenangnya.

Kejohanan lima hari itu, yang dijangka menarik 300 peserta, akan diadakan di dua venue - Pusat Tenis Nasional di Jalan Duta dan Kompleks Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Titiwangsa.

Naib presiden KLLTA Mirzan Tun Mahathir berkata untuk menarik lebih ramai peserta, persatuan itu menambah jumlah hadiah daripada RM28,000 kepada RM40,000 pada tahun ini.

"Selain menambah jumlah wang hadiah, KLLTA juga menyediakan trofi baru untuk mencerminkan prestij Terbuka KL. Nama juara lelaki akan diukir pada trofi ini," kata Mirzan, yang juga pengerusi bersama penganjur kejohanan itu di Pusat Tenis Nasional di sini, Selasa.

Kejohanan itu terbahagi kepada 10 kategori, termasuk Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita.

Mirzan berkata Terbuka KL mendapat pengiktirafan Persatuan Tenis Rumput Malaysia (LTAM) dan menjadi sebahagiaan daripada Litar Tenis Kebangsaan.

"Terbuka KL, secara rasmi, adalah pusingan ketiga Litar Tenis Kebangsaan dan kami jangka semua pemain handalan negara menyertainya. Mereka akan bersaing untuk meraih kemegahan dan mengumpul mata ranking kebangsaan.

"Peserta dari negara jiran, Singapura, Thailand dan Indonesia sudah mengesahkan penyertaan mereka, manakala Mongolia dan Uzbekistan belum berbuat demikian," katanya.

Kejohanan ini diadakan semula tahun lepas setelah kali terakhir dianjurkan pada 2005 berikutan bertambahnya minat yang ditunjukkam penggemar tenis tempatan dan untuk meningkatkan kemajuan sukan tenis di negara ini.

Sempena kejohanan itu, satu karnival tenis akan diadakan pada 9 Jun di Stadium Tertutup di Jalan Duta.

"Karnival ini bertujuan menarik kanak-kanak berusia antara enam tahun hingga 15 tahun. Ia merupakan program penggerak mula untuk memperkenalkan permainan tenis kepada golongan muda dengan tujuan untuk meneroka kemungkinan menjadikan tenis sebagai aktiviti rekreasi yang menyeronokkan atau sebagai sukan pertandingan," kata Mirzan. - BERNAMA

Artikel Lain