suria

Dua Pelumba Basikal Lebuh Raya Ke Olimpik Akan Diumum Pertengahan Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Dua nama atlet berbasikal lebuh raya yang akan mewakili negara pada Sukan Olimpik London, Julai ini, akan diumumkan pada pertengahan bulan depan, menurut Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKLBM).

Timbalan presidennya Datuk Naim Mohamad berkata beliau perlu mendapatkan laporan prestasi daripada ketua jurulatih bagi lima pelumba yang telah dicalonkan sebelum membuat keputusan muktamad.

Katanya laporan prestasi tersebut dijangka diserahkan kepada PKBM pada 15 Jun ini dan nama dua pelumba lebuh raya perlu dikemukakan kepada pihak penganjur Sukan Olimpik sebelum 9 Julai ini.

Naim berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan Olimpik London oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini Isnin.

PKBM sebelum ini menyenarai pendek lima pelumba lebuh raya untuk menggalas cabaran negara pada temasya sukan berprestij itu.

Mereka adalah pasangan adik beradir Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif yang kini bersama Terengganu Cycling Team (TSG); Mohamad Adiq Hussainie Othman dan Anuar Manan (Champion System) dan Amir Mustafa Rusli dari pasukan Drapac Professional Cycling.

Mohamad Adiq Hussainie dan Mohd Harrif dikatakan menjadi pilihan PKBM untuk menggalas cabaran negara pada temasya sukan terbesar dunia itu berdasarkan persembahan cemerlang mereka dalam beberapa kejohanan berbasikal sebelum ini.

Selain acara lebuh raya, skuad berbasikal negara turut mengesahkan penyertaan ke Olimpik London dalam acara trek menerusi Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan pecut, Josiah Ng (keirin) dan Fatehah Mustapa (keirin wanita). - BERNAMA

Artikel Lain