suria

Malaysia Kalah 2-3 Kepada India

IPOH: Harapan Malaysia untuk memburu kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah tidak kesampaian apabila kalah 2-3 kepada India di sini malam Isnin.

Walaupun mengakui ketangkasan India namun pemain negara begitu bersemangat sebaik sahaja perlawanan dimulakan dengan melakukan serangan bertali arus.

Bagaimanapun, setiap gerakan pasukan negara dapat dipatahkan oleh benteng pertahanan lawan malah beberapa peluang mencipta jaringan sering tersasar.

Dalam keghairahan mengatur serangan itu, pasukan India berupaya membuat serangan balas sehingga berjaya menghasilkan gol pertama menerusi Danish Mutjaba pada minit ke-10.

Tiga minit kemudian, India menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti oleh Shivendra Singh dan kedudukan itu bertahan sehingga akhir babak pertama.

Malaysia, yang seri 1-1 dengan Korea Selatan dan 3-3 dengan Great Britain, sebelum ini, menggandakan asakan sebaik babak kedua bermula dan berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-40 melalui Muhammad Amin Rahim.

Muhammad Amin menolak kemas bola pukulan sudut penalti untuk menewaskan penjaga gol India, Chetri Barat.

Kealpaan skuad negara mencari gol penyamaan dihukum oleh Khandker Tushar yang menyumbat gol pada minit ke-44.

Bagaimanapun, Malaysia tidak berpatah semangat dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-59 menerusi pukulan deras oleh pemain remaja Muhd Fitri Saari.

Jurulatih negara Tai Beng Hai berkata anak buahnya perlu memperbaiki beberapa kelemahan sebelum menentang Pakistan, Rabu ini.

Malaysia kini tercorot dalam kedudukan tujuh pasukan dengan mengumpul dua mata selepas tiga perlawanan dan India di tangga ketiga dengan enam mata daripada empat perlawanan.

Pada perlawanan terdahulu, Argentina melakukan kejutan besar apabila mengalahkan Great Britain 3-2.

Argentina, yang kalah dua perlawanan pertama, menjaringkan gol menerusi Matias Peredes pada minit kelapan dan 41 serta Lucas Cammareri pada minit ke-49.

Great Britain, yang mengalami kekalahan pertama itu, menghasilkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Ashley Jackson pada minit ke-39 dan 65.

Sementara itu, Korea Selatan mencipta kemenangan pertama apabila menumpaskan Pakistan 4-0.

Gol Korea diperolehi melalui pukulan sudut penalti oleh Nam Hyun Woo pada minit ke-18 dan 44, diikuti gol padang oleh You Hyo Sik pada minit ke-49 dan Hyun Hye Sung pada minit ke-61. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain