suria

Sukma 2012: Persiapan Infrastruktur Siap Sepenuhnya 20 Jun

KUANTAN: Semua kemudahan infrastruktur untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadual siap 28 Mei ini, hanya akan siap sepenuhnya pada 20 Jun ini.

Perubahan tarikh itu bagaimanapun dilihat tidak akan menjejaskan persiapan Pahang selaku tuan rumah untuk Sukma edisi-15 yang dijadual berlangsung pada 7 Julai hingga 16 Julai ini .

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Pahang, Ahmad Hairi Hussain berkata beberapa faktor termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu dilihat memperlahan kerja-kerja pembinaan infrastruktur.

"Terdapat juga gelanggang seperti kolam renang yang telah dibina beberapa bahagian terpaksa diroboh untuk dibina semula bagi memenuhi ketetapan piawaian gelanggang mengikut syarat mini Olimpik," katanya, Khamis.

Beliau berkata Sekretariat Sukma menggandakan pemantauan dua hari sekali bagi memastikan kerja-kerja pembinaan infrastruktur itu siap mengikut jadual.

Selain itu katanya, pihak kontraktor juga telah mengambil inisiatif untuk bekerja pada waktu malam dan sehingga kini 86 peratus kerja menaik taraf 20 gelanggang dan tujuh pembinaan baru telah disempurnakan.

Sementara itu Ahmad Hairi berkata sebanyak 11 institusi pengajian tinggi (IPT) telah disediakan untuk penginapan atlet dari seluruh negara.

Kejohanan itu akan turut disertai 12,000 petugas teknikal, kebudayaan, keselamatan dan lain-lain, manakala 4,000 pelajar sekolah, IPT dan belia serta hampir 4,000 sukarelawan akan terlibat pada majlis perasmian Sukma itu.

Sukma 2012 akan melibatkan 24 acara yang menawarkan 693 pingat emas dan akan diadakan di tiga daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh.-BERNAMA

Artikel Lain