suria

Piala Thomas: Berakhirnya Kuasa M'sia & Indonesia, Muncul Kuasa Baru

Daren tewas kepada Lin Dan pada aksi suku akhir Piala Thomas di Wuhan, Rabu. Foto: BERNAMA
Daren tewas kepada Lin Dan pada aksi suku akhir Piala Thomas di Wuhan, Rabu. Foto: BERNAMA
Daren tewas kepada Lin Dan pada aksi suku akhir Piala Thomas di Wuhan, Rabu. Foto: BERNAMA

SEPERTI dijangka, skuad Piala Thomas negara gagal dalam misi mereka untuk mencapai sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China.

Selepas tonggak utama perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa dihantar pulang kerana mengalami kecederaan buku lali ketika berdepan dengan pemain Denmark pada aksi akhir peringkat Kumpulan C, pasukan negara lebih goyang untuk meneruskan aksi seterus mereka.

Kegagalan skuad Malaysia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana berdasarkan prestasi semasa, mereka tidak berada di tahap yang memuaskan berbanding dengan nagara-negara lain.

Mara ke suku akhir sekadar melengkapkan jadual perlawanan kerana semua sudah sedia maklum dengan kehebatan pasukan tuan rumah, China.

Dengan barisan pemain-pemain terbaik termasuk Lin Dan, agak mustahil untuk menewaskan China buat masa ini tanpa sentuhan Chong Wei.

Bagaimanapun Liew Daren telah mempamerkan semangat tinggi dan berjaya menewaskan Lin Dan pada set pertama (21-15), namun seterusnya musuh tradisi Chong Wei itu menguasai pada set kedua dan ketiga.

Harapan untuk melihat pasukan beregu utama negara, Koo Kien keat/Tan Boon Heong membantu mengutip satu mata juga gagal selepas tewas kapada pasangan China Cai Yun-Fu Haifeng.

Harapan tinggi juga diletakkan kepada seorang lagi pemain perseorangan negara, Muhd Hafiz Hashim sekadar angan-angan kosong kerana gagal menonjol dan tewas kepada Chen Long (10-21, 11-21).

Dengan berakhirnya kejohanan ini selepas tewas 0-3 kepada China, bermakna Malaysia masih gagal memecah kebuntuan 20 tahun untuk kembali membawa balik Piala Thomas ini selepas menjadi juara pada 1992.

Apa yang menarik, edisi Piala Thomas kali ini menyaksikan kuasa baru badminton dunia apabila pasukan Jepun mara ke separuh akhir buat kali pertama, manakala juara 13 kali Indonesia turut tersingkir pada aksi suku akhir.

Kebangkitan negara Matahari Terbit sejak kebelakangan ini telah memberi amaran awal bahawa mereka seperti sudah bersedia untuk menguasai sukan ini mengiringi kekuatan pasukan China.

Sudah pasti kekalahan ini juga diharap mampu menyedarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai beberapa perkara yang perlu ditekankan jika ingin melihat Malaysia kembali digeruni dan bukan hanya tertumpu kepada seorang dua pemain yang sedia ada sahaja.

Jangan sudah terhantuk baru hendak tergadah kerana Malaysia mempunyai ramai pemain muda berbakat dan apa yang perlu dilihat ialah program atau perancangan yang lebih berkesan.

Dengan tempoh dua bulan menjelang Sukan Olimpik, diharap BAM mempunyai resipi khas untuk mengembalikan sentuhan pemain-pemain negara yang akan beraksi di Kota London nanti.

Artikel Lain