suria

Skuad B-22 Tahun Tewas 0-5 Kepada Ferencvarosi

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara kalah 0-5 kepada kelab divisyen satu Liga Hungary, Ferencvarosi dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Budapest, Hungary pada Rabu.

Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada persediaan skuad bimbingan Ong Kim Swee bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang dijadual berlangsung penghujung bulan depan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di gelanggang pasukan tuan rumah iaitu Stadium Albert Florian, skuad bimbingan Lajos Detari berada di hadapan pada minit ke-23 selepas pemain pertahanan negara tertampan gol ke dalam gawang sendiri.

Pemain tengah Aleksandar Jovanovic menjaringkan gol kedua buat pasukan tuan rumah pada minit ke-39 menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti sebelum penyerang Lorant Olah menambah gol ketiga pasukan itu pada minit ke-47.

Olah sekali lagi menambah derita skuad negara dengan menjaring gol keempat pada minit ke-68 sebelum Balint Nyilasi melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tersebut dengan gol kelima menerusi sepakan penalti pada minit ke-86.

Skuad B-22 negara selepas ini dijadual mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan di Hungary dan Slovakia sebelum bertolak ke Myanmar bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun.

Malaysia diundi dalam kumpulan G bersama Korea, Vietnam, Taiwan, Filipina dan Myanmar selaku tuan rumah pada kejohanan yang dijadual berlangsung dari 23 Jun sehingga 3 Julai ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain