suria

MTFTA Tarik Balik Sokongan Kepada Harun Rasheed

KUALA LUMPUR: Persatuan Jurulatih Olahraga Trek dan Padang Malaysia (MTFTA) menarik balik sokongannya terhadap ketua jurulatih olahraga kebangsaan Harun Rasheed, berhubung isu enam atlet olahraga melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping tahun lepas.

Presiden MTFTA Mohd Musa Noor Mohd berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati kenyataan yang dikeluarkan Harun menerusi media massa, bercanggah dengan apa yang terkandung dalam laporan panel siasatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bertarikh 12 September 2011.

"Daripada laporan setebal 10 muka surat itu, kita juga dapati keterangan Harun tidak sama dengan keterangan yang diberikan enam atlet terbabit iaitu Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Mohd Noor Imran Hadi, Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamad dan Yee Yi Ling," katanya kepada media, Rabu.

MTFTA katanya percaya laporan yang disediakan panel tersebut jujur dan tidak berat sebelah kerana disediakan anggota panel yang berpengalaman.

Persatuan itu sebelum ini dilapor akan memberi sokongan kepada Harun yang berhadapan dengan dakwaan mempengaruhi enam atlet terbabit agar tidak menjalani ujian anti-doping, kerana percaya jurulatih berkenaan menjadi mangsa keadaan.

Mohd Musa berkata jika didapati bersalah mengikut peraturan Majlis Anti-Doping Dunia (WADA), Harun boleh dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup.

Dalam pada itu, beliau juga kurang bersetuju dengan hukuman berupa amaran keras ke atas atlet terbabit kerana mengikut peraturan WADA, atlet yang melarikan diri daripada ujian anti-doping dianggap bersalah mengambil dadah.

"Mereka telah memalukan nama negara dan sepatutnya jawatankuasa siasatan KOM menjatuhkan hukuman lebih berat seperti penggantungan kepada semua enam atlet tersebut selain Harun," katanya.

Enam atlet olahraga itu melarikan diri daripada ujian anti-doping yang diadakan di Institut Sukan Negara pada 24 Mei 2011 dan lebih mengecewakan, Norjannah, Nurul Sarah dan Mohd Noor Imran bersama Harun menghilangkan diri ke Bulgaria dengan alasan untuk menjalani latihan di sana. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain