Kecederaan Chong Wei Tidak Serius: ISN - Sukan | mStar

Kecederaan Chong Wei Tidak Serius: ISN

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dijangka sembuh sepenuhnya dalam masa empat minggu lagi selepas mengalami kecederaan buku lali kanan pada pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China, Selasa lalu.

Ditemani abangnya Lee Chong Eng, Chong Wei yang berkerusi roda kelihatan tenang selepas menjalani imbasan 'Magnetic Resonance Imaging' (MRI) dan X-ray pagi tadi di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pemeriksaan yang dilakukannya bersama dua pakar ortopedik iaitu Dr Saw Khay Yong dan Dr Nicholas Geary, mendapati kecederaan Chong Wei tidak akan mengambil masa lama untuk sembuh.

"Selepas melakukan imbasan MRI, kita dapat gambaran jelas mengenai tahap kecederaan Chong Wei dan beliau didapati tidak mengalami kecederaan serius.

"Saya berharap Chong Wei mampu mengatasinya dan boleh kembali ke kancah perlawanan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Dr Ramlan berkata dengan kaedah rawatan di KLSMC, Chong Wei akan mendapat rawatan pemulihan lebih baik dan cepat.

"Ini berita baik bagi Chong Wei dan mengikut pakar ortopedik, beliau boleh sembuh sepenuhnya dalam masa empat minggu atau lebih cepat daripada itu," katanya.

Sementara itu, Chong Wei berkata selepas mendapat rawatan di KLSMC, rasa sakit yang dialaminya sejak Selasa semakin berkurangan kepada 40 peratus dan berharap dapat segera sembuh.

"Doktor beritahu saya perlu tinggal di hospital satu atau dua hari lagi dan mengambil masa tiga atau empat minggu lagi untuk sembuh sepenuhnya. Ini berita baik bagi saya," katanya.

Beliau berkata kecederaan yang dialaminya tidak sedikitpun mengurangkan semangatnya untuk memburu emas sulung Malaysia pada Sukan Olimpik London Julai ini kerana beliau telah banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk memburu impian tersebut.

"Saya akan cuba melupakan kecederaan yang dialami agar tidak fobia apabila kembali beraksi nanti dan berharap akan cepat sembuh," katanya.

Chong Wei berkata cabaran Olimpik adalah peluang terakhir baginya untuk mendapat pingat setelah empat kali beraksi pada temasya berprestij itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain