suria

BAM Tumpu Kepada Program Pembangunan, Pencarian Bakat Baru

Nadzmi (dua kanan) ditemuramah oleh para wartawan Malaysia selepas pasukan negara tersingkir peringkat suku akhir pada aksi Piala Thomas di Wuhan, China. Foto: BERNAMA
Nadzmi (dua kanan) ditemuramah oleh para wartawan Malaysia selepas pasukan negara tersingkir peringkat suku akhir pada aksi Piala Thomas di Wuhan, China. Foto: BERNAMA
Nadzmi (dua kanan) ditemuramah oleh para wartawan Malaysia selepas pasukan negara tersingkir peringkat suku akhir pada aksi Piala Thomas di Wuhan, China. Foto: BERNAMA

WUHAN: Selepas tamat kejohanan pusingan akhir Piala Thomas disini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi tumpuan kepada program pembangunan dan pencarian bakat baharu di peringkat negeri.

Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh mengakui barisan pemain sedia ada tidak mampu membentuk pasukan yang mantap dan Malaysia kini semakin ketandusan pemain berprestasi tinggi seperti Datuk Lee Chong Wei.

"Selain mencungkil bakat, kita juga perlu mencari satu kaedah untuk memastikan bakat baharu itu akan dapat meningkatkan kemahiran mereka menjadi pemain utama dunia seperti Chong Wei," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Khamis.

Malaysia tewas 0-3 kepada China pada peringkat suku akhir kejohanan itu di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan semalam.

Kekalahan itu sekali gus melengkapkan genapnya 20 tahun pasukan negara ketandusan kejuaraan piala berprestij itu.

Mohd Nadzmi berkata bagi penyelesaian jangka masa pendek iaitu menjelang kempen Piala Thomas 2014 dan 2016, pemain pelapis BAM dilihat akan 'matang' dan mampu merapatkan jurang tahap permainan mereka dengan Chong Wei menerusi latihan dan pendedahan sewajarnya.

"Mungkin kemudian dalam beberapa tahun akan datang, kita mampun menampilkan sebuah pasukan yang lebih mantap pada kejohanan itu," katanya.

Gagal mencapai sasaran ke separuh akhir, beliau berkata skuad kebangsaan kali ini tidak bernasib baik kerana kecederaan Chong Wei dan diundi pula dalam kumpulan C bersama Denmark yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.

"Denmark adalah pasukan yang kuat dan Chong Wei selaku pemain utama kita mengalami kecederaan sehingga terus tidak dapat beraksi. Ini telah menjejaskan semangat dan kekuatan pasukan dan sememangnya ia perkara tidak dijangka," katanya.

Pemain nombor satu dunia itu cedera buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada saingan peringkat kumpulan C, Selasa lalu.

Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata sukar bagi BAM untuk melahirkan pemain sehebat Chong Wei memandangkan pelapis yang ada di bawah naungan badan induk itu perlu dilatih dengan gigih.

"Bukan senang...kita kena 'latih dan latih' sampai menjadi pemain berkualiti. Macam pasukan China, kita tak boleh nak beri tentangan sebab pemain mereka sudah ada pakej, kita nak cari yang ada pakej susah," katanya.

Beliau juga berkata pembangunan pemain pelapis seperti Liew Daren akan dipergiatkan selepas Sukan Olimpik, Julai ini.

"Selepas Olimpik, kita akan lebih fokus pada pemain ini. Berikan mereka banyak pendedahan dan kita akan tengok perkembangan mereka dengan lebih terperinci supaya dapat merapatkan jurang tahap permainan mereka dengan Chong Wei," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain