suria

Kelantan Perkuat Red Warriors Bagi Saingan Musim Akan Datang

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan terus mempertingkat prestasi dan memperkukuh skuad Red Warriors bagi menghadapi saingan domestik dan antarabangsa musim akan datang.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA mempunyai konsep tersendiri dalam meningkatkan kekuatan pasukan melalui kaedah pencarian bakat baru.

Beliau berkata, KAFA akan melakukan penambahbaikan terhadap pasukan dengan melihat posisi mana yang lemah dan mendapatkan pemain baharu yang bersesuaian.

"Saya dan Bojan (jurulatih Kelantan, Bojan Hodak) telah merangka pelan tindakan dengan melantik beberapa individu untuk melaksanakan tugasan pencarian bakat baru itu.

"Mereka akan menilai pemain-pemain baharu yang sesuai untuk Kelantan melalui setiap perlawanan domestik," kata Annuar, yang kini digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, kepada Bernama.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pasukan Kelantan perlu mengangkat tahap bola sepak tanah air dengan memberi tanda aras baru bagi bola sepak tempatan dalam saingan Piala AFC.

"Saya yakin pasukan Kelantan yang sedia ada kini mampu mencipta tanda aras baharu untuk pasukan tempatan khususnya dalam saingan Piala AFC. Kita perlu melangkah lebih jauh dan bukan sekadar bermain dalam saingan peringkat kumpulan," katanya.

Kelantan, yang muncul juara kumpulan H, akan menentang naib juara kumpulan F, Terengganu dalam pusingan kalah mati bagi saingan Piala AFC di Stadium Sultan Mukammad IV pada Rabu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain