suria

Torres Tak Puas Hati & Minta Jaminan Chelsea Mengenai Masa Depannya

FERNANDO TORRES mendedahkan pada Isnin bahawa Pengurus Sementara Chelsea, Roberto Di Matteo tidak membenarkan dia mengambil sepakan penalti dalam perlawanan akhir Piala Liga Juara Eropah Ahad lalu dan kini mendesak supaya masa depannya ditentukan dengan segera.

Torres, yang dibeli dari Liverpool pada harga £50 juta, Januari 2011, mendedahkan yang dia mahu mengambil sepakan penalti selepas tamat tempoh masa tambahan tetapi permintaannya itu ditolak.

“Ya benar, saya ingin mengambil sepakan penalti itu tetapi saya tidak dibenarkan.Kini saya mahu pihak kelab memberi jaminan yang saya akan menjadi tonggak utama pasukan musim depan," katanya sepertimana yang dilaporkan oleh portal sukan The Sun Football UK.

Torres, 28, menegaskan, dia perlu mengetahui apakah pelan perancangan kelab untuk dirinya musim depan, termasuklah peranan utama yang akan dimainkan olehnya dan apa yang diharapkan daripadanya.

Kenyataan sensasi terbaru dari Torres ini telah 'merosakkan' pesta meraikan kejayaan Chelsea memenangi Piala Juara Eropah buat pertama kalinya dalam sejarah kelab itu.

Pemain asal Sepanyol itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-84 permainan mengantikan Salomon Kalou.

Malah dia meradang kerana tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama sedangkan pemain yang tidak ternama seperti Ryan Bertrand yang tidak pernah bermain dalam satu pun perlawanan pusingan kelayakan menjadi pilihan Di Matteo.

“Pada mulanya saya merasakan inilah saat-saat paling mengembirakan dalam sejarah karier saya tetapi kemudiannya saya diberitahu yang saya akan bermula di bangku simpanan. Akhirnya saya hanya berpeluang bermain di hujung permainan sahaja," katanya lagi.

Torres juga turut mengkritik strategi pasukannya hanya untuk bertahan sedangkan katanya filosofi Chelsea ialah untuk bertahan dan kemudian menyerang.

“Itulah yang menjadi formula kemenangan di Napoli, Benfica dan Barcelona tetapi dalam perlawanan akhir Chelsea tidak langsung menyerang tapi bertahan dan keputusan itu hampir-hampir memusnahkan pasukan ini dengan jaringan Thomas Mueller pada minit ke-82," jelas beliau.

Torres juga berkata, jika tidak kerana menghormati para penyokong setia Chelsea, dia sudah pastinya sudah menyerah kalah dan meninggalkan Chelsea.

Artikel Berikut

Artikel Lain