suria

Puteri Nadia Menyerlah Pada Liga Boling Penerbangan Antara Benua Di AS

SEREMBAN: Puteri Nadia Kamarul Mahadir dari Negeri Sembilan yang mewakili Malaysia Airlines (MAS) menyerlah pada pertandingan Liga Boling Penerbangan Antara benua kali ke-45 bagi merebut Piala Julio Noriega yang berlangsung di Arlington, Texas, Amerika Syarikat (AS) selama empat hari mulai 7 Mei lepas.

Selain muncul juara masters wanita, beliau yang berpasangan dengan juruterbang Kapt Faizal Ismail, turut meraih johan bergu campuran serta naib johan bagi acara pasukan campuran dan tempat ketiga acara keseluruhan wanita, katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Dengan kemenangan itu, selain trofi, Puteri Nadia turut menerima plak.

Puteri Nadia, 16, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Said, Nilai adalah pemain pelapis kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma)Negeri Sembilan.

Beliau merupakan anak kedua daripada dua beradik kepada juruterbang MAS Kamarul Mahadir Mohd Shukor, 39.

Pertandingan anjuran Southwest Airlines itu terbuka kepada kakitangan dan anggota keluarga syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Selain Malaysia, antara negara yang menyertai pertandingan itu ialah Australia, Denmark, Jerman, Hong Kong, Mexico, Norway, Singapura, Sweden, Switzerland, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

MAS menghantar dua pasukan yang disertai 16 orang pemain.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Fouzee Abd Aziz berkata kemenangan Puteri Nadia merupakan satu dorongan bagi pemain itu dan pasukan boling Negeri Sembilan untuk menyerlah pada Sukma di Kuantan, Pahang pada 7 hingga 16 Julai depan.

"Kejohanan terdekat yang akan disertai Puteri Nadia yang mewakili pasukan kebangsaan ialah Kejohanan Boling Terbuka Singapura pada 28 Mei hingga 2 Jun ini," katanya.

Jurulatih boling Negeri Sembilan Jimmy Lee pula berkata kejayaan Puteri Nadia merupakan satu petanda baik bagi pemain itu menempa nama dalam arena boling di negara ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain