suria

Liverpool Pening Kepala Seorang Demi Seorang Tolak Tawaran Jadi Pengurus

LIVERPOOL yang kini dalam proses mencari calon penganti kepada Kenny Dalglish yang dipecat minggu lalu menerima satu lagi tamparan hebat apabila percubaan mereka untuk berunding dengan Pengurus Ajax, Frank de Boer, ditolak mentah-mentah.

Keputusan pengurus asal Belanda itu untuk menolak lamaran Liverpool berlaku selang beberapa hari selepas Pengurus Swansea, Brendan Rodgers dan Pengurus Borussia Dortmund, Jürgen Klopp, turut menolak pelawaan yang sama.

Kini Fenway Sports Group iaitu firma yang menguasai syer majoriti kelab Liverpool berhadapan dengan misi yang sangat sukar untuk melantik seorang pengurus baru sebelum sesi latihan untuk musim depan bermula.

De Boer menjadi pilihan seterus Liverpool selepas dia berjaya membimbing Ajax menjuari Liga Belanda dua musim berturut-turut.

Pengurus berusia 42 tahun itu berkata, dia berasa satu penghormatan untuk duduk berbincang dengan Liverpool mengenai prospek mengurus kelab berkenaan tetapi pada masa yang sama, komited dengan pelan masa depan Ajax.

Malah De Boer menegaskan, para pembantunya di Ajax iaitu Wim Jonk dan Dennis Bergkamp turut merasakan perkara yang sama.

Kini, bekas Pengurus Chelsea, André Villas-Boas dan Pengurus Wigan Athletic, Roberto Martínez adalah dua calon lagi yang masih terbuka untuk Liverpool merisik khabar.

Artikel Berikut

Artikel Lain