suria

Skuad Negara Perlu Tebus Kekecewaan Pada Piala Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR: Skuad negara perlu menebus kekecewaan gagal layak ke Sukan Olimpik London dengan mara ke saingan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak yang berlangsung 24 Mei hingga 3 Jun ini.

Naib Presiden Kanan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pasukan itu perlu mencontohi semangat juang skuad Projek 2013 yang menampilkan aksi cemerlang apabila menjuarai Kejohanan Piala Remaja Asia buat kali pertama di Melaka, baru-baru ini.

"Kita secara dasarnya tidak meletakkan sebarang sasaran khusus kepada skuad senior kebangsaan pada kejohanan kali ini memandangkan beberapa pasukan yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik London turut menyertai kejohanan ini.

"Namun, mereka perlu memulihkan kekecewaan (pada Kejohanan Kelayakan Olimpik) di Dublin Mac lepas dengan menempah tempat ke saingan akhir kejohanan (Piala Sultan Azlan Shah)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan penajaan untuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini Sabtu.

Pada majlis itu, penganjur menerima tajaan berjumlah RM1.42 juta daripada 19 penaja untuk kejohanan hoki berkenaan, yang memasuki edisi ke-21 tahun ini.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah, yang juga penaung kejohanan itu, berkenan menerima cek penajaan.

Nur Azmi berkata beliau sendiri akan mengumumkan barisan skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan hoki berprestij itu di Ipoh pada 22 Mei ini.

Ketua jurulatih hoki negara Tai Beng Hai baru-baru ini memanggil lapan pemain skuad Projek 2013 bagi memperkuatkan skuad senior kebangsaan untuk menghadapi kejohanan tersebut.

Mereka ialah pasangan adik-beradik Faizal dan Fitri Shaari, Firhan Ashaari, Faiz Helmi, Amir Farid, Norizzat Sumantri, Mohamed Ramadhan Rosli serta Muhammad Noor Faeez.

Kejohanan itu menyaksikan penyertaan tujuh pasukan iaitu England, India, Pakistan, Argentina, New Zealand, Korea Selatan dan Malaysia.

Malaysia akan membuka kempen kejohanan dengan menentang Korea Selatan pada 24 Mei.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu ialah naib juara tiga kali iaitu pada 1985, 2007 dan 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain