suria

Nicol Ke Akhir Terbuka Britain Buat Kali Kelima

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David mara mudah ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Britain dan dilihat akan merangkul kejuaraan keempatnya.

Nicol menewaskan pemain England Laura Massaro 11-5, 11-8 dan 11-4 dalam masa 39 minit pada perlawanan yang berlangsung di 02 Arena di London pada Sabtu.

Beliau akan bertemu pemain Mesir Nour El Sherbini yang mengetepikan cabaran rakan senegara dan juga pilihan kelima Raneem El Weleily, 14-12, 7-11, 11-4 dan 11-9 dalam masa 40 minit.

Nicol sebelum ini menjuarai kejohanan 2005, 2006 dan 2008. Beliau kalah kepada pemain Australia Rachael Grinham pada perlawanan akhir edisi 2007.

Pada edisi 2009 pula beliau tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas mengejut di tangan pemain Ireland Madeline Perry.

Kejohanan itu kembali diadakan tahun ini selepas dua tahun direhatkan.

Sementara itu, Nour yang baru berusia 16 tahun, bukan sahaja menjadi pemain wanita termuda layak ke peringkat akhir kejohanan tetapi juga pemain Mesir yang pertama dapat berentap di final.

"Saya berasa sungguh letih selepas perlawanan (separuh akhir) itu. Sekarang saya cuba untuk menerima hakikat yang saya menang dan bersedia untuk perlawanan akhir esok (hari ini)," kata gadis itu yang dipetik www.britishopensquash.net. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain