suria

Separuh Akhir Sasaran Realistik Skuad Badminton Negara

WUHAN: Misi skuad negara pada kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China yang akan bermula esok, lebih merupakan aksi 'mencuba nasib' dengan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk muncul juara kejohanan badminton berprestij itu.

Membariskan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei serta beregu tidak konsisten Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan 'orang lama' Muhammad Hafiz Hashim, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran separuh akhir bagi skuad tersebut.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan kekuatan pasukan Malaysia pada kejohanan kali ini. "Namun, apa yang penting kita bermain sebagai sebuah pasukan dan kekalkan semangat berpasukan. Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya," katanya kepada Bernama. Beliau berkata pasukan negara juga perlu menewaskan Denmark untuk muncul juara kumpulan bagi mengelak diundi bertemu China di suku akhir. "Kemenangan tersebut akan dapat meningkatkan keyakinan pemain bagi menghadapi perlawanan akan datang di peringkat suku akhir," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Afrika Selatan dan Denmark, manakala tuan rumah China yang juga juara bertahan dalam Kumpulan A bersama Indonesia dan England. Antara nama besar yang akan beraksi pada kejohanan kali ini ialah Lin Dan dan Chen Jin yang mewakili China, Taufik Hidayat (Indonesia) dan Peter Hoeg Gade (Denmark).

Sementara itu, skuad negara yang turut dibarisi perseorangan Liew Daren dan Chong Wei Feng serta beregu Goh V Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Tan Wee Keong menjalani latihan selama sejam di Pusat Sukan Wuhan pagi Sabtu.

Pengurus pasukan Datuk Syed Abu Bakar Abdullah berkata semua pemain berada dalam keadaan ceria dan bersemangat. "Semua pemain sihat...yang demam, sakit semua telah sembuh. Mereka sudah tidak sabar lagi untuk beraksi," katanya. Sebelum ini, skuad negara menjalani latihan pusat di Guangzhou selama seminggu sebelum berangkat ke Wuhan.

Mereka tiba di China dalam keadaan Chong Wei dan Daren mengalami demam manakala Muhammad Hafiz dihantui kecederaan lama di bahagian tumit kaki kanan.

Pasukan negara akan memulakan cabaran menentang pasukan bukan pilihan Afrika Selatan Isnin ini sebelum bertemu Denmark pada Selasa.

Malaysia tidak akan beraksi dalam kempen Piala Uber setelah skuad wanita negara kalah pada pusingan kelayakan di Macau, Februari lepas. -BERNAMA

Artikel Lain