suria

Man City Kecam Tindakan Tevez Hina Alex Ferguson

PIHAK pengurusan Manchester City pada Selasa telah mengecam tindakan Carlos Tevez yang merayakan sambutan kemenangan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan mengangkat pelekat yang menghina Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Tevez telah didapati mengangkat pelekat besar yang tertulis "RIP Fergie" yang diberikan oleh seorang peminat kelab tersebut ketika dia sedang berada di atas bas berbumbung terbuka di bandar raya Manchester ketika pasukan itu sedang diraikan di atas kemenangan mereka yang pertama dalam tempoh 44 tahun.

'RIP' yang bermaksud 'Rest In Peace' biasanya diukir pada batu nisan atau ditulis pada kad ucapan kepada keluarga orang yang meninggal dunia.

Pada masa yang sama, Manchester City juga secara rasmi telah memohon maaf kepada Sir Alex Ferguson dan juga Manchester United di atas tindak-tanduk pemain mereka itu.

Perbuatan Tevez itu telah mengundang kritikan daripada beribu pengguna Twitter dan juga penyokong United yang merasakan jiran mereka tidak tahu menghormati lawan apatah lagi Ferguson sudah pun berusia 70 tahun.

Tevez kemudiannya turut mengeluarkan satu kenyataan yang memohon maaf di atas keterlanjurannya itu tetapi sudah terlambat untuk meredakan keadaan sehingga mendorong campur tangan kelabnya sendiri.

Pemain antarabangsa Argentina itu pernah bermain selama dua musim di bawah Ferguson sebelum berhijrah ke Manchester City pada tahun 2009.

Perpindahannya ke City disebabkan keengganan Ferguson untuk menawarkan kontrak tetap kepada Tevez setelah ejennya meletakkan harga yang terlalu tinggi iaitu sebanyak £25 juta kepada United.

Artikel Lain