suria

Lima Negara Bida Jadi Tuan Rumah Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dijangka membuat keputusan di Quebec, Kanada minggu depan sama ada akan membenarkan lima ibu negara yang ingin menjadi hos Olimpik Musim Panas 2020, melancarkan bidaan masing-masing secara habis-habisan untuk menjadi tuan rumah acara sukan terbesar di dunia itu.

Satu komentar dalam The Telegraph, akhbar dalam talian dari United Kingdom, berkata lima ibu negara berkenaan ialah Doha (Qatar), Madrid (Sepanyol), Tokyo (Jepun), Istanbul (Turki) dan Baku (Azerbaijan).

Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dan kejayaan ini mengesahkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam arena sukan sedunia.

Madrid, Tokyo dan Istanbul membuat bidaan untuk kali ketiga berturut-turut, manakala Baku, untuk kali kedua.

"Persaingan ini merupakan yang paling sengit dalam IOC sejak beberapa dekad lepas. Walaupun keputusan mengenainya dikatakan akan dibuat atas dasar teknikal, tetapi isu politik dan reputasi juga memainkan peranan penting," kata The Telegraph.

Olimpik 2012 akan berlangsung di London, United Kingdom Julai ini, manakala Olimpik 2016 di Rio de Janeiro (Brazil).- BERNAMA

Artikel Lain