suria

Jurulatih Korea Letak Jawatan Selepas Kecewa Dengan BAM

Yong Sung meletak jawatan sebagai jurulatih kerana kecewa dengan sikap Persatuan Badminton Malaysia.
Yong Sung meletak jawatan sebagai jurulatih kerana kecewa dengan sikap Persatuan Badminton Malaysia.
Yong Sung meletak jawatan sebagai jurulatih kerana kecewa dengan sikap Persatuan Badminton Malaysia.

KUALA LUMPUR: Selepas pengunduran ketua jurulatih beregu wanita negara, Rexy Mainaky, bulan lepas, kini giliran jurulatih beregu lelaki dari Korea Selatan, Yoo Yong Sung pula berbuat demikian atas alasan kecewa dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Yong Sung berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada BAM awal bulan ini semasa berlangsungnya Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia 2012 di Johor Baharu.

"Saya tidak mempunyai hak dalam persatuan dan saya amat kecewa dengan itu. Apabila saya datang ke Malaysia, BAM telah mengadakan banyak mesyuarat...mereka ada pelan A tetapi kemudian mereka mahu saya buat pelan B," katanya.

Yong Sung berkata apabila baru tiba di sini, beliau sungguh bersemangat mengenai prospek melatih pemain tetapi mendakwa beliau tidak diberi sebarang peluang untuk melatih mana-mana pemain tertentu.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya kepada pemberita melalui seorang jurubahasa di sini hari ini.

Mengikut perjanjian pelantikannya pada November 2011, Yong Sung akan bekerjasama dengan jurulatih Pang Cheh Chang bagi menyediakan beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong ke Sukan Olimpik 2012 di London.

"Semuanya lancar dengan kejurulatihan dan persatuan pada enam bulan pertama dengan BAM. Selepas itu saya tidak beri pemain untuk melatih.

"Setiap hari saya hanya diberi masa 10 hingga 20 minit untuk melatih kira-kira 10 pemain sebagai teman berlatih," katanya sambil mendakwa ketua jurulatih Koo/Tan tidak membenarkannya membimbing beregu utama negara tersebut.

Yong Sung berkata keputusan meletak jawatannya tidak kena mengena dengan soal gaji.

"Saya hanya ingin berkongsi kepakaran dan pengalaman saya dengan pemain tetapi saya tidak diberi peluang berbuat demikian," katanya.

Beliau berharap BAM tidak menamatkan visanya hujung bulan ini kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara sebelum pulang ke Korea Selatan. Yong Sung pada asalnya telah mengikat kontrak dua tahun bersama BAM termasuk menjalani tempoh percubaan enam bulan.

Beliau merupakan bekas pemain beregu Korea Selatan pada 1990-an hingga 2005.

Beliau dan pasangannya Lee Dong-soo meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2004 di Athens serta dua emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan.-BERNAMA

Artikel Lain