suria

Hodgson Lantik Bekas Kapten Man United Sebagai Jurulatih

Gary Neville
Gary Neville
Gary Neville

PENGURUS skuad kebangsaan England, Roy Hodgson telah mengejutkan ramai pihak dengan melantik bekas kapten Manchester United, Gary Neville sebagai jurulatih sepenuh masa yang baru.

Beliau menandatangani kontrak selama empat tahun bersama pasukan England.

Walaupun Neville pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tempoh beliau bersama skuad England sebagai bek kanan tidak ubah seperti membuang masa tetapi keputusan Hodgson untuk melantik bekas pemain itu dalam staf kejurulatihan England yang baru telah mendapat pujian ramai sebagai satu langkah yang inovatif dan berani.

Ini kerana Neville memang dikenali sebagai bukan seorang ‘yes man’ dan tidak gentar untuk menyatakan pandangan dan pendiriannya secara terbuka.

Namun begitu, pengalamannya sama ada di peringkat kelab mahupun antarabangsa akan membuatkan beliau dihormati oleh pemain-pemain muda yang lain.

Beliau telah bermain sebanyak 85 kali untuk skuad England dan memenangi boleh dikatakan semua piala domestik bersama Manchester United dan juga Piala Juara-Juara Eropah.

Neville turut mewakili England dalam kejohanan Euro 96, Euro 2000, Euro 2004, Piala Dunia 1998 dan 2006.

Neville juga akan dilihat boleh memainkan peranan sebagai 'jambatan' antara pemain dengan pihak pengurusan kerana sebahagian besar pemain dalam skuad kebangsaan adalah sama ada bekas rakan sekelabnya dahulu atau rakan seangkatan dengannya.

Antaranya ialah Steven Gerrard, yang dilihat bakal dilantik sebagai kapten skuad kebangsaan semula.

Kesungguhan Hodgson untuk memperolehi khidmat Neville dapat dilihat apabila pengurus itu turut membenarkannya terus menjadi pengulas bolasepak untuk stesen televisyen Sky Sports serta memberi keizinan khas kepadanya untuk meneruskan kolum mingguannya dalam akhbar-akhbar tempatan.

Beberapa pihak telah menyatakan kebimbangan mereka dengan dwi peranan yang akan dimainkan oleh Neville itu tetapi Hodgson sedikit pun tidak memperlihatkan kebimbangannya.

Sebaliknya pelantikan Neville itu berkemungkinan besar membuka lorong kepada pemain tengah Manchester United, Paul Scholes untuk kembali menyarung jersi kebangsaan menjelang kejohanan Negara-Negara Eropah Julai ini.

Scholes telah pun menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menimbang sekiranya Hodgson mahu membawanya ke kejohanan itu.

Neville merupakan rakan karib kepada pemain tengah yang berusia 37 tahun itu.

Sementara itu, Neville dalam kenyataan balasnya kepada media berkata: “Saya kini berpeluang untuk merealisasikan kerjasama dengan Roy Hodgson di peringkat antarabangsa.”

Hodgson pula ketika mengumumkan pelantikan Neville menegaskan: “Gary telah mencapai segala-galanya sebagai seorang pemain kelab dan juga pemain antarabangsa bersama Man United dan England.

“Beliau telah memperolehi kelayakan daripada UEFA sebagai jurulatih dan juga sangat-sangat dihormati oleh pemain-pemain yang lain kerana pengalamannya yang sangat luas sebagai pemain kelab dan juga pemain antarabangsa.

“Malah beliau telah mewakili England dalam lima kejohanan antarabangsa termasuklah Piala Dunia dan juga Kejohanan Eropah dan pengalaman ini sangat berharga kepada skuad kebangsaan."

Artikel Lain