suria

Nabil Beraksi Dengan Pasukan Terbaik Eropah

Nabil bakal beraksi dengan Eurointernational tahun ini.
Nabil bakal beraksi dengan Eurointernational tahun ini.
Nabil bakal beraksi dengan Eurointernational tahun ini.

MUSIM baru 2012 perlumbaan JK Racing Asia Series akan hanya bermula akhir bulan ini di Litar Sepang, namun nama pemandu negara Nabil Jeffri sudah menjadi sebutan di kalangan para pencabarnya sebagai saingan yang perlu diatasi dalam misi mereka memburu mahkota kejuaraan.

Mewakili pasukan juara bertahan, Eurointernational, Nabil, yang sudahpun disahkan sebagai pemandu utama pasukan berkenaan dan akan menggunakan angka 1 sebagai nombor pertandingan pada jenteranya.

"Tentunya, satu kebanggaan besar buat saya. Sememangnya, ia adalah tekanan tambahan, tetapi saya juga melihatnya sebagai pembakar semangat.

"Sememangnya, kejuaraan keseluruhan adalah sasaran saya musim ini. Lebih membanggakan saya lagi adalah kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh pasukan ini, yang meletakkan saya sebagai pemandu utama mereka," kata Nabil selepas majlis Memorandum Persefahaman antara pasukan Eurointernational, Akademi Kemahiran Belia Motorsport, Kementerian Belia dan Sukan serta Comma Motorsports.

Di bawah memorandum berkenaan, pasukan Eurointernational akan menempatkan dua penuntut dan seorang tenaga pengajar daripada Akademi Kemahiran Belia Motorsport sebagai sebahagian daripada tenaga krew pasukan yang akan menyokong cabaran Nabil musim ini dalam siri perlumbaan itu.

Menduduki tempat kelima keseluruhan pada musim sulungnya pada 2010, pelumba muda berusia 18 tahun yang bercita-cita menjadi pemandu F1 satu hari nanti ini, menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lepas di mana dia mencatat satu kemenangan dengan 10 kali menamatkan perlumbaan di podium kemenangan.

Kemenangan tunggal itu dicatat pada saingan pembuka musim kejohanan JK Racing Asia Series di Litar Sepang di mana siri berkenaan menjadi perlumbaan sokongan kepada Grand Prix F1 PETRONAS Malaysia.

Menurut Nabil, dia telah menjalani sesi ujian selama dua hari di Litar Varano, Itali bulan lepas dan dapat merasakan keserasian dengan seluruh krew pasukan dan dengan jentera yang digunakan.

“Segalanya berjalan dengan baik dan saya dapat rasakan kerasian itu. Kami mempunyai pasukan yang hebat dengan tenaga krew yang hebat dan penuh pengalaman.

"Saya bukan saja berharap untuk memenangi kejuaraan keseluruhan tetapi juga untuk mencatat sebanyak kemenangan mungkin," katanya.

Musim baru perlumbaan JK Racing Asia Series akan bermula di Litar Sepang untuk Pusingan 1, 2, 3 dan 4 pada 25 hingga 27 Mei ini dan pusingan seterusnya di Paul Ricard, Perancis untuk Pusingan 5 dan 6 pada 29 Jun hingga 1 Julai.

Pada 27 hingga 29 Julai, pusingan 7 dan 8 akan diadakan di Litar Spa-Francorchamps di Belgium; diikuti dengan Pusingan 9 dan 10 di Singapura daripada 21 hingga 23 September.

Enam pusingan akhir akan diadakan di New Delhi, India dengan Pusingan 11 dan 12, yang akan diadakan 26 hingga 28 Oktober, dan Pusingan 13, 14, 15 dan 16 dari 30 November hingga 2 Disember.

Diasaskan daripada siri perlumbaan Formula BMW, kejohanan ini banyak melahirkan para pemandu handalan dunia termasuk Timo Glock, Nico Rosberg, Nico Hulkenberg dan juara dunia F1 sebanyak dua kali Sebastian Vettel.

JK Racing Asia Series, yang dahulunya dikenali sebagai Formula BMW Pacific Series, menampilkan para pelumba daripada seluruh dunia termasuk daripada Asia Pasifik, Afrika dan Eropah.

Ia juga adalah platform untuk perkembangan bakat daripada Asia untuk mereka yang mengejar impian menjadi pelumba profesional.

Artikel Lain