suria

137 Tiket Lagi Untuk Rakyat Malaysia Saksi Sukan Olimpik London

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya tinggal 74 hari menjelang Sukan Olimpik London 2012, rakyat Malaysia masih berpeluang membeli tiket bagi menyaksikan temasya sukan terbesar dunia itu.

Wakil penjual tiket bagi Sukan Olimpik London 2012 di Malaysia, Holiday Tours & Travel Sdn Bhd (Holiday Tours) masih mempunyai 137 tiket untuk beberapa acara sukan pada temasya itu.

Naib Presiden Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Holiday Tours, Soo Bee Lim berkata, pada September tahun lepas, syarikat itu diperuntukkan sebanyak 579 tiket bagi acara sukan popular seperti olahraga, badminton, terjun, renang dan bola sepak.

"Setakat ini, hanya tinggal 137 tiket sahaja. Kami telah meminta tiket tambahan dan sedang menanti maklum balas daripada pembekal tiket kami pada 21 Mei ini," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Soo berkata, tiket bagi acara pembukaan sudah habis terjual manakala tinggal sedikit sahaja lagi tiket untuk majlis penutup.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya mempunyai 600 tiket untuk persatuan sukan kebangsaa di bawah gabungannya.

"Tiket-tiket adalah untuk persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah MOM. MOM tidak menjual tiket kepada orang ramai," katanya kepada Bernama.

Sieh berkata, orang ramai boleh menempah tiket secara terus daripada ejen yang dilantik iaitu Holiday Tours, bagi menyaksikan acara sukan pada temasya itu, yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos.

Mereka yang berminat untuk membeli tiket boleh menghubungi Holiday Tours di talian 03-6286-6005 atau e-mel kepada [email protected]. - BERNAMA

Artikel Lain