suria

Jelajah 1Malaysia: Pelumba Malaysia Serlah Peningkatan

KUALA LUMPUR: Kejohanan berbasikal Jelajah 1Malaysia (J1M) 2012 yang melabuhkan tirai di sini, semalam menyerlahkan peningkatan prestasi pelumba lebuh raya negara pada perlumbaan tersebut.

Ketua Pegawai Operasi J1M 2012, Datuk Naim Mohamed berkata kebanyakan pelumba negara mampu bersaing dengan pelumba-pelumba luar walaupun terdapat beberapa pasukan negeri yang belum 'layak' menyertai perlumbaan itu.

"Daripada 10 pasukan tempatan yang mengambil bahagian, saya dapati pasukan Pahang, Kedah dan Negeri Sembilan masih belum bersedia menghadapi cabaran pada perlumbaan itu.

"Ini menunjukkan perlumbaan Jelajah 1Malaysia kali ini bukanlah satu perlumbaan yang mudah dan ia tidak boleh dipandang ringan oleh pasukan-pasukan tempatan yang ingin mengambil bahagian pada edisi akan datang," katanya.

Naim berkata penyertaan pasukan benua, kelab serta pasukan kebangsaan Kazakhstan telah memberikan saingan yang hebat pada perlumbaan yang mendapat pengiktirafan status 2.2 daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

"Kehadiran mereka memberi saingan yang kuat dan pasukan negeri tidak boleh mengambil ringan soal itu. Mereka tidak boleh mengambil bahagian begitu saja tetapi perlu menyiapkan pasukan lebih awal," katanya.

Pada perlumbaan edisi ke-48 tahun ini, pelumba negara mendominasi tiga daripada enam peringkat perlumbaan serta dua daripada empat jersi utama perlumbaan.

Pelumba pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin meraih kemenangan peringkat ketiga dari Kulim, Kedah ke Felda Chuping, Perlis manakala rakan sepasukan Mohd Hariff Salleh memenangi peringkat keempat (Kangar, Perlis ke Sungai Petani, Kedah) dan kelima (Sungai Petani ke Ipoh, Perak).

Calon ke Sukan Olimpik London, Mohd Adiq Hussainie Othman pula mencatat kejayaan tersendiri apabila mengekalkan jersi hijau selaku Raja Pecut dan jersi putih sebagai pelumba terbaik Malaysia dalam kesemua enam peringkat saingan perlumbaan itu.

Paling membanggakan apabila pasukan Terengganu yang mempersiapkan diri untuk Sukan Malaysia (sukma) Pahang bulan depan, dinobatkan sebagai pasukan terbaik tempatan dengan catatan masa keseluruhan 75 jam, 52 minit dan 43 saat, sekaligus mengatasi pasukan senior TSG dengan kelebihan 23 minit 51 saat.

Naim, yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata sasaran penganjuran J1M 2012 ialah untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba negara bagi menghadapi Sukan Olimpik London.

"Pada perlumbaan kali ini, kita menyediakan laluan yang jaraknya hampir 200km (untuk satu peringkat) yang lebih kurang menyamai jarak laluan perlumbaan pada Sukan Olimpik nanti.

"Kita juga mengambil inisiatif mengadakan jarak laluan seumpama itu untuk pelumba-pelumba pelapis kita bagi menghadapi Sukan Olimpik 2016. Dengan pendedahan awal ini akan membolehkan persatuan meletakkan sasaran pingat pada Sukan Olimpik 2016," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain