suria

Hariff Salleh Harap Tersenarai Ke Sukan Olimpik

KUALA TERENGGANU: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh berharap namanya turut tersenarai untuk mewakili negara pada sukan Olimpik London, Julai nanti.

Pelumba berusia 24 tahun itu memohon Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menilai prestasinya berdasarkan pencapaian yang direkodkan setakat ini untuk melayakkan beliau menggalas misi negara itu.

"Saya memang berharap nama saya turut tersenarai dalam sukan Olimpik nanti, itulah salah satu misi saya untuk sama-sama menggalas cabaran dalam sukan lumba basikal bersama anak Terengganu yang lain.

"Jika peluang ini diberikan, saya tidak akan mensia-siakan dan akan cuba melakukan yang terbaik," kata pelumba yang berasal dari Kampung Ladang Titian, Terengganu kepada Bernama di sini, Ahad.

Mohd Hariff berharap dengan penglibatan dan kemenangan yang dicatat dalam kejohanan perlumbaan basikal Jelajah 1Malaysia 2012 yang bermula 8 Mei lalu, menjadi medan untuk PKBM menilai prestasi beliau dan rakan-rakan yang lain.

Menurutnya beliau telah mencuba sedaya-upaya membuktikan kebolehan dan prestasi yang membanggakan dalam kejohanan itu dan kehebatannya terbukti setelah meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2012, Sabtu.

Perlumbaan peringkat keempat Jelajah 1Malaysia dari Kangar ke Sungai Petani itu menyaksikan Mohd Harrif melakukan henjutan bertenaga mendahului kelompok besar pelumba-pelumba ke garisan penamat.

Sebelum ini, dua pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa antara dua anak Terengganu yang terawal menempah tiket ke Sukan Olimpik London.

Selain itu, dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim juga anak jati Terengganu turut mengikut jejak langkah dua pelumba negara itu.

Nama Mohd Hariff dan abangnya, Mohd Zamri turut tercalon untuk ke Olimpik bagi pelumba basikal lebuh raya.

Bagaimanapun status sebenar kedudukan mereka masih belum diketahui. - BERNAMA

Artikel Lain