suria

Lions XII Gagal Lebarkan Kedudukan Pendahulu Liga Super

KUALA LUMPUR: Lions XII dari Singapura gagal melebarkan kedudukan mereka selaku pendahulu Liga Super setelah terikat 3-3 ketika menentang Kedah di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam Sabtu.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan pasukan bimbingan V. Sundramoorthy itu untuk terus menerajui kedudukan liga dengan mengumpul 40 mata selepas beraksi dalam 20 perlawanan.

Kapten Lions XII Shahril Ishak membuka jaringan untuk pasukan tuan rumah seawal minit kesembilan menerusi tolakan mudah untuk menewaskan Mohd Helmi Eliza Elias di gawang Kedah selepas beliau memanfaatkan balingan jauh oleh Madhu Mohana dari tepi padang.

Khyril Muhymeen menyamakan kedudukan untuk Kedah pada minit ke-22 setelah menerima hantaran silang dari kapten pasukan Baddrol Bakhtiar sebelum Sufian Anuar menjaringkan gol kedua Lions XII pada minit ke-29.

Pemain pertahanan Baihakki Khaizan terus melebarkan kedudukan untuk Lions XII menerusi jaringan ketiga pada minit ke-57.

Kedah yang tidak berputus bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Amar Rohidan pada minit ke-62 sebelum pemain import dari Croatia, Vedran Gerc memastikan pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan membawa pulang satu mata berharga menerusi gol penyamaan selang dua minit kemudian.

Kelantan pula semakin mengurangkan defisit mata dengan Lions XII kepada hanya tiga mata selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Tiga gol skuad Kijang dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30, Obinna Nwaneri (minit ke-82) dan Mohammed Ghaddar Mahmoud pada minit ke-86.

Negeri Sembilan pula merampas kedudukan kelima liga dari Selangor selepas mengalahkan Johor FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Fernando Augusto membuka jaringan untuk pasukan Sang Lebah menerusi sepakan penalti pada minit ke-37 sebelum Negeri Sembilan membalas dengan dua gol menerusi Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-41 dan Mohd Shakir Ali pada minit ke-68.

Turut mencatatkan kemenangan ialah wakil kelab dari Terengganu ialah T-Team yang menumpaskan Kuala Lumpur, 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Tuan rumah berada di hadapan seawal minit pertama permainan menerusi Marco Tulio sebelum Mohd Afiq Azmi menyamakan kedudukan untuk skuad warga kota pada minit ke-23.

Norfazly Alias memastikan T-Team mencatatkan kemenangan mutlak menerusi gol kemenangan pada minit ke-75.

Sementara itu, Sarawak yang beraksi di Stadium Negeri yang kosong ekoran tindakan tatatertib oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas jiran mereka, Sabah menerusi jaringan tunggal Joel Epalle pada minit ke-22.

Terengganu pula terus ditimpa malang selepas kalah 1-2 kepada Felda United di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Skuad Penyu bagaimanapun mengejutkan pasukan bimbingan E. Elavarasan itu menerusi jaringan pemain tengah Ismail Faruqi pada minit ke-22 sebelum mereka bangkit dengan membalas dua gol menerusi Mohd Raimi pada minit ke-53 dan Mickael Joseph Nicoise pada minit ke-64. - BERNAMA

Artikel Lain