suria

Jeremy Koo Muncul Juara Pusingan Pertama MMRC

LUMUT: Pelayar berpengalaman negara Jeremy Koo muncul juara pusingan pertama Sirkit Kapal Layar Malaysia (MMRC) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Teluk Muroh, dekat sini, Ahad.

Jeremy mengalahkan musuh tradisinya, jurumudi pasukan Permai Hotel Match Racing Team, Hazwan Hazim Dermawan dalam pusingan kalah mati selepas terikat dengan tiga mata pada dua perlumbaan terakhir.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Jeremy berkata, keseluruhan pasukan bekerja keras bagi menghadapi musuh tradisinya, pasukan Hazwan.

"Hazwan menewaskan kami 3-0 pada pertandingan yang sama tahun 2009 dan kemenangannya itu menjadi inspirasi kepada kami untuk menebus kekecewaan.

"Walaupun menghadapi kesukaran dalam perlumbaan itu tetapi kami berjaya mengatasinya sebelum perlumbaan tamat," katanya.

Dengan kemenangan itu, Jeremy mengutip 25 mata dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 manakala Hazwan di tangga kedua dengan 22 mata menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Tempat ketiga pula dimenangi Mohd Mashuri Rahmat dengan 19 mata. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 setelah menewaskan pasukan Harisfabillah Muhammad.

Puisngan kedua MMRC akan diadakan di Pulau Indah, Selangor pada 29 Jun hingga 1 Julai dan diikuti pusingan akhir di Pulau Duyong, Terengganu pada 10 hingga 23 September 2012.

Juara sirkit MMRC 2012 secara automatik akan mewakili negara pada Piala Monsun di Pulau Duyong dari 3 hingga 8 Disember ini. - BERNAMA

Artikel Lain