suria

Jelajah 1Malaysia: Harrif Raih Kemenangan Kali Kedua

IPOH: Pelumba kebangsaan daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh meraih kemenangan peringkat yang kedua buat dirinya dalam edisi Jelajah 1Malaysia tahun ini.

Mohd Harrif, 24, mempamerkan aksi pecutan bertenaga setibanya di garisan penamat di hadapan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kelompok besar.

Pada perlumbaan peringkat kelima dari Sungai Petani ke Ipoh dengan jarak sejauh 194.9km itu Mohd Harrif mencatat masa empat jam, 34 minit dan 40 saat.

"Saya sebenarnya tidak menyangka yang saya akan memenangi peringkat ini memandangkan laluannya agak jauh juga. Saya menjangkakan akan ada pecahan. "Pada mulanya, strategi pasukan adalah untuk buat pecahan dan saya ikut tapi dalam jarak 2km sebelum sampai garisan penamat, pelumba-pelumba lain berjaya menangkap kelompok pecahan. Saya hanya bersedia sahaja dalam kelompok itu dan 200m sebelum penamat saya memecut untuk sampai dulu," kata pelumba kelahiran Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu itu.

Pada edisi perlumbaan tahun lepas, Mohd Harrif merangkul jersi hijau selepas memenangi kategori pecut.

Selepas menamatkan saingan hari ini, Mohd Harrif, yang terkenal sebagai pakar pecut, kini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul 44 mata, 34 mata di belakang pendahulu setakat ini, Muhamad Adiq Hussainie Othman daripada pasukan Pembangunan Malaysia.

Sementara itu, Muhamad Adiq Hussainie masih mempertahankan jersi hijau (raja pecut) dan jersi putih (terbaik Malaysia) untuk lima peringkat berturut-turut.

Pelumba berusia 21 tahun itu kini meletakkan sasaran untuk berada dalam kedudukan lima terbaik keseluruhan edisi Jelajah 1Malaysia kali ini.

"Untuk jersi hijau, jarak mata saya kini lebih jauh dengan pelumba-pelumba lain. Untuk peringkat terakhir esok, saya perlu menjaga kedudukan saya dan tidak terlibat dalam kemalangan. "Selepas peringkat kelima, saya kini di kedudukan keenam keseluruhan dan jarak masa saya dengan pendahulu (Yusup Abrekov) ialah satu minit 42 saat dan kalau boleh saya mahu capai kedudukan lima terbaik," katanya.

Yusup Abrekov daripada pasukan Uzbekistan Suren Team juga masih mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan setakat ini selepas mengumpul 20'39:46s dan turut mengekalkan jersi biru selaku pelumba terbaik Asia.

Jersi merah masih menjadi milik pelumba Putra Perjuangan dari Indonesia, Dadi Suryadi.

Selepas melalui lima peringkat perlumbaan, sejumlah 86 daripada 120 pelumba meneruskan kayuhan peringkat terakhir Jelajah 1Malaysia esok melibatkan jarak sejauh 199.5km dari Ipoh ke Dataran Merdeka.

Peringkat terakhir itu akan melibatkan tiga zon pecutan di Tapah, Slim River dan Serendah serta dua zon pendakian kategori empat di Kuala Kubu Baru dan Rawang. -BERNAMA

Artikel Lain