suria

Dua Anggota Skuad Piala Thomas Negara Demam, Selesema

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara, yang akan bertolak ke Guangzhou esok, tidak berada dalam kondisi terbaik apabila dua daripada pemain mengalami demam dan menghidap selesema.

Namun, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk James Selvaraj yakin keadaan itu tidak melemahkan semangat para pemain negara yang disifatkan mempunyai motivasi yang sangat tinggi.

"Walaupun masa latihan sangat singkat, saya lihat para pemain mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi.

"Jika mereka bermain pada tahap terbaik dan seperti satu pasukan, saya percaya kita tidak mempunyai masalah untuk mencapai sasaran separuh akhir," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Tinjauan Bernama pada latihan terakhir skuad itu di Stadium Juara Bukit Kiara mendapati perseorangan pertama Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dan perseorangan kedua Liew Daren tidak berlatih kerana demam dan selesema.

James berkata keadaan itu mungkin berpunca terlalu kerap menyertai kejohanan selain terdedah kepada cuaca yang berbeza di setiap tempat kejohanan.

"Terlalu banyak kejohanan disertai boleh membebankan badan seseorang. Saya sedikit susah hati tetapi berharap mereka akan pulih sedikit masa lagi dan percaya mereka akan memberikan yang terbaik apabila tiba masanya nanti," katanya.

Selain Chong Wei dan Liew Daren, pasukan Piala Thomas negara dibarisi pemain perseorangan Muhammad Hafiz Hashim dan Chong Wei Feng serta beregu Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong, Goh Wei Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong.

Skuad itu bertolak ke Guangzhou, China esok bagi latihan pusat selama seminggu sebelum menghadapi kejohanan Piala Thomas di Wuhan pada 20-27 Mei.

Sementara itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata kesihatan dua pemain perseorangan negara itu tidak membimbangkan dan mereka hanya memerlukan rehat yang cukup.

Setakat ini semua persiapan menghadapi kejohanan itu berjalan lancar dan mengikut jadual, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain