suria

Piala Thomas: Skuad Malaysia Berangkat Ke Guangzhou Ahad ini

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara yang diketuai pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan berlepas ke Guangzhou, China, Ahad ini bagi melakukan persediaan akhir sebelum menghadapi kejohanan itu di Wuhan bermula 20 hingga 27 Mei ini.

Ketua jurulatih acara perseorangan lelaki, Rashid Sidek berkata skuad negara akan menjalankan latihan fasa akhir selama lima hari di wilayah Guangzhou mulai Isnin ini.

Katanya pemilihan Guangzhou disebabkan kemudahan latihan yang lengkap di sana manakala tidak mengetahui kemudahan yang disediakan oleh penganjur pada venue kejohanan di wilayah Wuhan.

Rashid berkata pemain dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan di Guangzhou berbanding di Wuhan yang mempunyai gangguan daripada peminat dan kehadiran pasukan dari negara bertanding.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Berhad, di sini, hari ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh menandatangani perjanjian itu manakala Maxis diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Nasution Mohamed.

Mengikut MoA itu, Maxis akan menyokong program pembangunan BAM seperti kemudahan latihan, memberi subsidi kepada pemain, bayaran untuk jurulatih serta kos penghantaran pemain negara bertanding di pelbagai kejohanan.

Rashid turut melahirkan keyakinan bahawa skuad negara mampu mencapai sasaran ke peringkat separuh akhir Piala Thomas berdasarkan prestasi semasa pemain dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, Denmark mampu menjadi penghalang kepada Malaysia untuk mara ke separuh akhir.

Pada pusingan akhir Piala Thomas, Malaysia diletakkan dalam kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark dan Afrika Selatan.

Pemain perseorangan Piala Thomas negara dibarisi Chong Wei, bekas juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Chong Wei Feng.

Bekas pasangan No 1 dunia Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong akan mengetuai cabaran negara dalam acara beregu lelaki bersama Goh Wei Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong.

Kali terakhir skuad negara memenangi piala itu ialah pada 1992 di Stadium Negara selepas menumpaskan Indonesia, 3-2 pada perlawanan akhir.-BERNAMA

Artikel Lain