suria

Mohd Shahrul Raih Kemenangan Peringkat Ketiga Jelajah 1Malaysia 2012

CHUPING: Pelumba negara, Mohd Shahrul Mat Amin yang mewakili pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG) meraih kejayaan keduanya dalam perlumbaan Jelajah Malaysia.

Beliau menamatkan saingan sejauh 168.8km dari Kulim, Kedah ke Felda Chuping di sini dengan catatan masa empat jam, 23 minit dan 36 saat.

"Sejak dari awal kami (TSG) memang merancang untuk membuat serangan dari awal dan syukur semuanya berjalan dengan baik dan saya gembira dengan kemenangan ini.

"Semalam semua pelumba TSG bekerja keras untuk mempertahankan jersi kuning (yang dimenangi Shinichi Fukushima) tetapi masa pendakian semalam, ramai pelumba yang tercicir," katanya.

Kali pertama pelumba berusia 23 tahun dari Marang, Terengganu itu memenangi perlumbaan Jelajah Malaysia ialah pada tahun 2010, apabila beliau memenangi peringkat pertama dari Kuala Selangor ke Teluk Batik.

Kemenangan itu membolehkan beliau, yang ketika itu mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menyarung jersi kuning (Pendahulu Keseluruhan), putih (Terbaik Asean) dan biru (Terbaik Malaysia).

Pada perlumbaan hari ini (Khamis), Mohd Shahrul bersama seorang lagi pelumba negara, Muhamad Adiq Husainie Othman daripada pasukan Pembangunan Malaysia mengetuai perlumbaan sejak pada jarak 25km dari garisan permulaan di Kulim, Kedah.

Namun selepas lebih 90km, kedua-dua pelumba itu telah dikejar secara bersendirian pelumba Polygon Sweet Nice, Dani Lesmana. Pada jarak 25km menuju ke garisan penamat di Felda Chuping, Perlis, ketiga-tiga pelumba telah meninggalkan kelompok besar (peloton) pelumba lain dengan jarak masa lebih kurang empat minit.

Sementara itu, Muhamad Adiq Husainie masih mempertahankan jersi hijau (Raja Pecut) dan jersi putih (Pelumba Terbaik Malaysia) sejak peringkat pertama.

Jersi-jersi utama edisi ke-48 perlumbaan J1M yang lain masih tidak bertukar tangan.

Jersi kuning (Pendahulu Keseluruhan) dan biru (Terbaik Asia) masih menjadi milik pelumba Uzbekistan, Yusup Abrekov daripada pasukan Uzbekistan Suren Team, yang kini mengumpul masa 13'24:10s selepas menamatkan tiga peringkat perlumbaan.

Walaupun hanya ada satu pendakian di Bukit Selambau, pelumba Putra Perjuangan dari Indonesia, Dadi Suryadi masih mengekalkan jersi merah dan mendahului pelumba lain dengan 10 mata, diikuti Abrekov dan pelumba TSG, Mohammad Saufi Mat Senan, masing-masing dengan tujuh dan enam mata.

Esok, pelumba akan melalui jarak perlumbaan terpendek edisi kali ini iaitu dari Kangar ke Sungai Petani dengan jarak sejauh 98.5km.

Perlumbaan di laluan landai itu akan melibatkan dua zon pecutan di Alor Setar dan Guar Chempedak. - BERNAMA

Artikel Lain