suria

Piala AFC: Kelantan Mara Ke Pusingan Kedua Tewaskan Ayeyawady 1-0

KOTA BAHARU: Kelantan mara ke pusingan kedua Piala AFC setelah berjaya menundukkan Ayeyawady United dari Myanmar 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan H di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa malam.

Penyerang import dari Nigeria, Nwoha Onyekachi, menjadi wira apabila menjaringkan gol tunggal Kelantan.

Seawal minit kedua, Kelantan menunjukkan taring apabila Chanthuru Suppiah mendapat peluang keemasan menjaringkan gol, namun sepakannya ke gawang lawan tersasar.

Kelantan sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-20 apabila memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti selepas bola terkena tangan pemain lawan, Sai Than Aung, namun sepakan Indra Putra Mahayuddin turut tersasar.

Pemain import Mohamad Ghaddar mengecewakan peminat Kelantan pada minit ke-32 apabila sepakan gunting yang dihantar Chanthuru Suppiah tersasar dan melepasi palang gol.

Kelantan diburu resah apabila pertahanannya berjaya ditembusi pihak lawan melalui gerakan solo Ngangue Jupiter Yves pada minit ke-38, yang melakukan rembatan kencang daripada kotak penalti, namun tersasar.

Seawal minit ke-46 pada babak kedua, Kelantan memecah kebuntuan apabila bola muntah hasil sepakan Mohamad Ghaddar, berjaya disudahkan pemain import Nwoha Onyekachi selepas berlaku kekalutan di depan pintu gol Ayeyawady United.

Ghaddar sekali lagi cuba menambah jaringan pada minit ke-56 melalui gerakan solo yang bermula dari tengah padang, namun sepakan yang dilakukannya tersasar.

Kelantan menduduki tangga teratas dalam kumpulan H dengan 13 mata selepas menang empat perlawanan, satu seri dan satu kalah.

Ayeyawady pula di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas menang dua perlawanan, satu seri dan tiga kalah.

Senarai Pemain:

Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Subramaniam Sooryapparad, Mohd Shakir Shaari, Mohd Nor Farhan Muhammad (Mohd Badhri Mohd Radzi), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Nwoha Onyekachi (Azlan Ismail), Mohamad Ghaddar, Chanthuru Suppiah, Zairul Fitree Ishak.

Ayeyawady United, Myanmar: Thiha Si Thu, Nay Lin Aung, Myo Zaw Oo, Aung Kyaw Myo, Nanda Lin Kyaw Chit, Min Min Thu, Sai Than Aung (Sithu Than), Naing Lin Oo, Miroslav Latiak, Karangwa John, Ngangue Jupiter Yves.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain