suria

Pelumba Malaysia Wajar Manfaatkan Perlumbaan Jelajah 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia 2012 (J1M 2012) yang bermula esok, sewajarnya dimanfaatkan oleh pelumba tempatan untuk menempatkan diri mereka setanding dengan pelumba antarabangsa.

Jelajah 1Malaysia atau sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Malaysia, adalah perlumbaan berbasikal yang tertua di negara ini dan mula diperkenalkan pada 1963.

Pada edisi kali ini, 10 pasukan tempatan Terengganu Cycling Team (TSG), Pasukan Pembangunan Malaysia (PPM), Kedah, Kuala Lumpur, Negei Sembilan, Pahang, Selangor, Terengganu, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan menggalas cabaran negara.

"Perlumbaan ini terus diadakan bagi membolehkan pelumba tempatan bersaing dan tidak kurang juga menimba pengalaman bersaing dengan pelumba luar negara," kata ketua pegawai operasi J1M 2012 Datuk Naim Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pengenalan pasukan yang bertanding yang turut dihadiri pemangku Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Azizan Nordin, di sini, Isnin.

Menurut Naim, yang juga naib presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), penganjuran perlumbaan itu telah mendapat galakan berterusan daripada kerajaan.

Perlumbaan enam peringkat bermula esok hingga 13 Mei itu turut menjadi medan terakhir bagi beberapa atlet berbasikal lebuh raya negara untuk dipilih ke Olimpik London Julai depan.

Antara pelumba yang disenarai pendek oleh PKBM untuk mengisi dua slot ke Sukan Olimpik London ialah Anuar Manan, Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli serta Mohd Zamri Salleh dan adiknya, Mohd Harrif Salleh.

Pada perlumbaan J1M 2012 daripada lima nama yang disenarai-pendekkan itu, hanya Amir Mustafa sahaja yang tidak mengambil bahagian.

Anuar dan Adiq Hussainie akan mewakili PPM manakala Mohd Zamri dan Mohd Harrif mewakili TSG.

"Saya sememangnya menyimpan cita-cita untuk beraksi di Sukan Olimpik. Saya berharap selepas beraksi di Jelajah Borneo, kondisi saya terus baik dan boleh memberikan persembahan terbaik pada J1M 2012," kata Mohd Harrif.

Menurutnya persaingan untuk mendapatkan kemenangan peringkat agak sengit dengan kehadiran Anuar dan beberapa pakar pecut dari pasukan benua Genesys Wealth Advisers dan Pure Black Racing.

Edisi ke-48 perlumbaan berkenaan akan menyaksikan pelumba negara memberi cabaran kepada pelumba pasukan benua dan kelab dari luar negara.

Sebanyak 10 pasukan benua dan kelab luar negara yang mengambil bahagian ialah Genesys Wealth Advisers, Aisan Racing Team, CCN Cycling Team, RTS Racing Team, Suren Uzbekistan Team, Kazakhstan Cycling Federation, Pure Black Racing Team, Putra Perjuangan Racing Team, Team LBC Cycling dan Polygon Sweetnice.

Perlumbaan enam peringkat dengan jarak kayuhan sejauh 1,023km itu akan bermula dari Stadium Merdeka, Kuala Lumpur ke Bandar Baru Kampar, Perak sejauh 161.5km, diikuti peringkat kedua dari Bandar Baru Kampar-Kulim, Kedah (201.8km); Kulim-Felda Chuping, Perlis (168.8km); Kangar-Sungai Petani, Kedah (98.5km); Sungai Petani-Ipoh (193.4km) dan Ipoh-Dataran Merdeka (199.5km). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain